Awie keluar dari Mahkamah Majistret selepas didenda RM2,000. FOTO Mior Azlan
Sarah Zulkifli


Kuala Lumpur : Penyanyi dan pelakon, Awie didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menyebabkan kecederaan terhadap bekas isterinya, Rozana Misbun di depan kaunter Permodalan Nasional Berhad (PNB), Jalan Tun Razak, dua tahun lalu.

Majistret Husna Dzulkifly menjatuhkan hukuman itu terhadap Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, selaku Orang Kena Saman (OKS) apabila dia menukar pengakuan bersalah sebaik pertuduhan pindaan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Awie yang memakai kot berwarna kelabu dan berseluar jeans biru dilihat tenang sepanjang prosiding di dalam kandang tertuduh.

Mahkamah turut memerintahkan Awie menjalani hukuman penjara selama dua bulan, jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pindaan, Awie didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Rozana, 38, yang dilakukan jam 3 petang, 2 Jun 2014 dan pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 323, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2016 @ 1:10 PM