PELAKON Ada Apa Dengan Cinta 2, Dian Sastrowodoyo (kiri) dan Nicholas Saputra. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Filem romantik Indonesia, Ada Apa Dengan Cinta 2 (AADC 2) terus mencatat kutipan memberangsangkan sebanyak RM4 juta selepas 12 hari ditayangkan.

Pengurus Besar Inovasi dan Pengedaran Primeworks Studios Marini Ramlan yang mengedarkan filem itu di sini berkata, kutipan itu diperoleh setakat semalam daripada 100 pawagam di Malaysia dan Brunei.

“Angka ini dijangka bertambah menjelang hujung minggu kerana penonton memilih untuk menontonnya pada waktu itu.

"Kami hanya meletakkan sasaran RM2 juta. Apabila ia mencatat kutipan sebanyak ini, kami sangat bersyukur dan mengharapkan kutipannya akan lebih lagi," katanya.

Marini berkata, kutipan yang diraih itu sekali gus memberipetanda filem luar dari Indonesia itu mendapat sambutan luar biasa.

"Apabila panggung wayang masih memberi laluan sebanyak 100 pawagam sekali gus membolehkan filem AADC 2 akan ditonton lebih lama lagi.

"Memasuki minggu ketiga tayangan minggu ini, tidak mustahil ia akan mencatat lebih banyak kutipan," katanya.

Bukan sahaja di Malaysia dan Brunei, filem terbitan Miles Film ini turut mendapat sambutan di luar jangkaan di Indonesia apabila ditonton lebih 2 juta penonton dalam tempoh lima hari tayangan.

Filem AADC 2 adalah sekuel daripada filem AADC pertama ditayangkan pada 2002.

Selepas 14 tahun, filem ini kembali menggandingkan pelakon utamanya Nicholas Saputra dan Dian Sastrowardoyo.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2016 @ 6:45 PM