Aktor Irrfan Khan sudahpun membuktikan kehebatannya di layar perak Bollywood dan namanya juga sudah merentas ke Hollywood menerusi filem A Mighty Heart (2007) dan The Amazing Spider-Man (2012),

Dia kini berulang-alik ke Hollywood untuk mempromosikan siri filem terbaru Jurrasic Park berjudul Jurrasic World yang akan ditayangkan pada Jun 2015. Steven Spielberg yang mengarahkan dua siri pertama Jurrassic Park bertindak selaku Eksekutif Produser untuk Jurrasic World.

Irrfan turut mengaku dalam rangka promosi itu juga dia ada berbincang dengan Spielberg untuk filem terbaru, namun dia menafikan akan berlakon dalam filem Marvel Universe.

"Terlalu banyak sangat rumor yang saya akan muncul dalam Marvel Universe, tetapi selagi perkara itu belum pasti, saya tidak mahu komen. Jika perbincangan saya untuk membintangi itu tidak berjalan lancar, nanti ada pula cerita negatif," kata Irrfan.

Menjawab pertanyaan sejauh mana Hollywood menerima kehadirannya di sana, jelas Irrfan, pintu industri di sana terbuka untuknya.

"Mereka memuji lakonan saya dalam filem Darjeeling Limited (2007), walaupun In Treatment (2013) adalah drama televisyen, pengkritik di Hollywood tetap mengharga lakonan saya dan membuatkan saya sangat bangga. Saya amat bertuah mendapat perhatian yang begitu tinggi daripada mereka," katanya.

Irrfan juga buat julung kali berlakon di samping legenda Bollywood, Amitabh Bachchan dalam projek terbaru pengarah Shoojit Sircar.

"Ia adalah pengalaman yang paling menakjubkan. Amitabh sangat merendah diri, jujur dan memberi impak yang baik kepada semua orang di lokasi penggambaran. Saya membesar dengan menonton filem lakonan Naseeruddin Shah dan Marlon Brando.

"Lakonan mereka mendatangkan inspirasi kepada saya untuk jadi pelakon. Mereka adalah simbol yang lakonan itu akan hidup jika aksi kita berdasarkan pengalaman hidup yang sebenar. Amitabh pula memiliki personaliti yang hebat, pesona yang besar dan aura yang amat disenangi ramai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Disember 2014 @ 5:00 AM