Oleh Georgie Joseph

Melakonkan watak berkonsepkan zaman purba bukan mudah, apa lagi buat generasi sekarang. Kemampuan berimaginasi tinggi sangat penting kerana karakter berkenaan perlu benar-benar dihidupkan seiring keadaan zaman itu.

Menerajui siri purba berjudul Atlantis melakonkan karakter Jason, aktor Jack Donnelly, 28, juga nyata berdepan kesukaran sama menjayakan cerita penuh aksi berkenaan.

Berpeluang mewawancara aktor kelahiran United Kingdom (UK) itu, baru-baru ini, dia bagaimanapun mengakui segala kisah purba yang dipelajarinya sewaktu zaman persekolahan nyata berguna.

Bagaimanapun, tidak semudah itu juga kerana menurutnya proses penggambaran itu sendiri menuntut imaginasinya untuk menjadi lebih liar. Mana tidak, banyak babak dilakukan di studio berlatarbelakangkan kain saja.

"Memang sukar kerana kami perlu meletakkan diri benar-benar berada di suatu lokasi sedangkan latar belakang kami hanyalah kain rentang skrin hijau. Daripada situlah keadaan menjadi lebih sukar sedikit dan kami perlu membayangkan benda lain.

"Situasi itu nyata menuntut saya untuk menggunakan segala yang berlaku baik dari zaman saya masih kecil terutama membabit­kan babak aksi. Saya cuma ingat balik bagaimana saya dan kawan-kawan berlawan ketika itu dan sebenarnya amat membantu," katanya.

Nyata penuh teruja bercerita mengenai siri fantasi itu, Jack juga ada alasan kukuhnya menyukai watak berkenaan. Bahkan, pada saat ditawarkan watak itu pun, dia sudah tidak sabar-sabar melakonkannya.

"Watak Jason bukan watak hero kebiasaan. Hakikatnya, dia sendiri bukan seorang hero yang ketara kerana dia sendiri tidak menyedari sejauh mana kemampuannya.

"Risau juga mulanya kerana produksi sama pernah meledak dengan siri Merlin, namun melihat daripada prospek penonton, sebenarnya ada kelebihan Atlantis. Selain reaksi penonton semakin bagus, sedikit-sebanyak siri Merlin juga membantu daripada segi jumlah tontonan," katanya.

Bertepatan dengan zaman pahlawan purba dulu, sebagai teraju utama, Jack tidak ketinggalan perlu menjalani rejim wajib sebelum menjayakan karakter berkenaan.

Kedengarannya agak menyeksa juga, bagaimanapun menurut aktor itu, dia sebaliknya gembira sepanjang proses latihan itu sebelum menjayakan peng­gambaran.

"Dalam mencapai bentuk fizikal dikehendaki, saya kena makan banyak terutamanya piza sebelum menghadiri latihan intensif di jimnasium pula. Selain itu, saya juga kena menghadiri kelas gimnastik yang mana sebenar­nya bukan susah buat saya kerana pernah mengikuti kelas sedemikian sebelum ini," katanya.

Selain Jack, turut menerajui siri berkenaan termasuklah Robert Emms sebagai Pythagoras, Mark Addy (Hercules), Aiysha Hart (Ariadne), Sarah Parish (Pasiphae), Jemima Rooper (Medusa), Alexander Siddig (Minos), dan Juliet Stevenson (Oracle).

Turut menjadi siri utama pertaruhan saluran tempatan ntv7, musim pertama Atlantis bakal disiarkan pada sekitar Mac tahun hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Disember 2014 @ 5:00 AM