Kawalan ketat daripada anggota polis sepanjang perbicaraan berlangsung. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Sarah Zulkifli


Kuala Lumpur: Dua beradik lelaki masing-masing dipenjara 25 tahun, manakala dua rakan mereka dipenjara 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini, hari ini, selepas didapati bersalah atas tuduhan mempromosikan perbuatan keganasan, April tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Nordin Hassan memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasah terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara 25 tahun terhadap dua beradik itu yang juga peniaga kedai baja, Mohd Anwar Azmi, 34, dan adiknya Mohd Nurakmal, 31, manakala penjara 20 tahun ke atas peniaga air, Izwan Shameer Suzaimi, 26, pekerja kedai tayar dan Muhammad Luqman Hakim Abdul Aziz, 23, dijalankan bermula dari tarikh tangkapan, iaitu pada 25 April tahun lalu.

Dalam prosiding itu juga, seorang remaja yang ketika kejadian berusia 17 tahun turut didapati bersalah atas pertuduhan sama, namun hukuman terhadapnya ditangguhkan pada 27 Mei ini bagi menunggu laporan akhlak.

Pada 20 Mei tahun lalu, mereka didakwa di Mahkamah Kajang atas tuduhan bersetuju antara satu sama lain untuk melakukan perbuatan menyalahi undang-undang iaitu mempromosikan perbuatan keganasan di negara ini.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di No 2, Lot 3917, Kampung Bistari, Sungai Michu, Batu 13, Hulu Langat, Selangor antara jam 7 petang, 24 April 2015 dan 1 pagi keesokannya mengikut Seksyen 120B(1), Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika disabitkan kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2016 @ 1:52 PM