GAMBAR fail, Menteri Luar Indonesia, Retno LP Marsudi bersalaman dengan 10 anak  kapal yang dibebaskan militan Abu Sayyaf awal bulan ini.
GAMBAR fail, Menteri Luar Indonesia, Retno LP Marsudi bersalaman dengan 10 anak kapal yang dibebaskan militan Abu Sayyaf awal bulan ini.
Agensi

Jakarta: Pembebasan empat kru kapal Indonesia yang diculik kumpulan Abu Sayyaf adalah hasil usaha intensif kerajaan Indonesia dan dipercayai membabitkan pembayaran wang tebusan, kata sumber.

Satu sumber memberitahu akhbar The Jakarta Post, Agensi Perisikan Kebangsaan (BIN), Tentera Negara Indonesia, Kementerian Politik, Undang-Undang dan Keselamatan serta Kementerian Luar bekerjasama dengan majikan anak kapal berkenaan.

“Majikan anak kapal itu membayar wang tebusan berkenaan,” kata sumber.

Bagaimanapun, sumber itu tidak memberitahu jumlah wang tebusan dibayar untuk membebaskan empat kru kapal berkenaan.

Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) kelmarin mengumumkan baki empat lagi anak kapal negara itu yang dijadikan tebusan oleh militan Abu Sayyaf di selatan Filipina sudah dibebaskan.

Katanya, semua anak kapal berkenaan kini di bawah perlindungan pihak berkuasa Filipina dan akan dibawa pulang ke tanah air tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Jokowi tidak memberikan maklumat lanjut mengenai pembebasan tebusan berkenaan.

Empat kru itu diculik selepas bot tunda mereka di pintas militan Abu Sayyaf di perairan Malaysia-Filipina pada pertengahan April lalu.

Pada awal bulan ini, militan Abu Sayyaf membebaskan 10 kru sebuah bot tunda yang ditawan mereka pada Mac lalu.

Pihak berkuasa Indonesia sebelum ini enggan mengulas soalan sama ada wang tebusan dibayar untuk membebaskan kru kapal berkenaan.

Kumpulan Abu Sayyaf yang terkenal kerana menculik warga asing jarang membebaskan tebusan mereka jika tidak menerima bayaran.

Sekurang-kurangnya lapan warga asing termasuk kru kapal warga Malaysia masih diculik kumpulan berkenaan.

Bulan lalu, militan Abu Sayyaf memenggal kepala seorang tebusan warga Kanada selepas tarikh akhir pembayaran wang tebusan tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2016 @ 7:13 AM