Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Saya akan buktikan layak untuk berada dalam skuad Piala Thomas, ikrar pemain perseorangan keempat negara, Goh Soon Huat (gambar) yang sebelum ini pemilihannya dalam skuad berkenaan dipertikaikan.

Menurut pemain kelahiran Melaka itu, dia sekarang sudah bersedia untuk diturunkan bila-bila masa seandainya khidmatnya diperlukan, baik dalam aksi peringkat kumpulan Piala Thomas mahupun saingan kalah mati.

“Saya mahu buktikan layak berada dalam skuad ini untuk beraksi di Piala Thomas. Saya juga bersedia jika berada dalam situasi genting dan tidak berasa tertekan,” katanya.

Sebelum ini, ramai yang mempertikaikan pemilihan Soon Huat kerana ranking seorang lagi perseorangan negara, Zulfadli Zulkiffli lebih baik.

Soon Huat sekarang ini menduduki ranking ke-57 dunia, manakala Zulfadli yang pernah muncul juara remaja dunia pada 2011 berada di kedudukan ke-39 dunia.

Bagaimanapun, pemilihan Soon Huat dijelaskan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) adalah kerana dia sudah mempunyai pengalaman beraksi di Piala Thomas 2014 di mana ketika itu Malaysia muncul naib juara.

Selain Soon Huat, tiga lagi pemain perseorangan yang membarisi skuad Piala Thomas ialah Datuk Lee Chong Wei (ketua pasukan), Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Chong Wei Feng.

“Saya harap boleh mengekalkan permainan konsisten dan mempamerkan permainan mantap di Kunshan, China. Saya bersedia untuk diturunkan dalam aksi peringkat kumpulan bertemu Jerman dan England.

“Begitu juga ketika lawan Korea Selatan jika khidmat saya diperlukan,” kata pemain berusia 25 tahun itu.

Malaysia yang berada dalam Kumpulan C akan memulakan cabaran Piala Thomas 2016 dengan bertemu England Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2016 @ 9:13 AM