Yatt bersyukur apabila Allah kurniakan rezeki buat keluarganya. FOTO NSTP
Yatt bersyukur apabila Allah kurniakan rezeki buat keluarganya. FOTO NSTP
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara Yatt Hamzah, 36, kini hamil anak kedua selepas berkahwin dengan suaminya Mohd Zulfadhli Khiruddin, 26, pada 27 Februari lalu.

Yatt ketika ditemui berkata, kandungannya kini sudah berusia dua bulan dan dia bersyukur apabila Allah SWT kurniakan rezeki buat keluarganya.

Yatt atau nama sebenarnya Norhayati Hamzah berkata, anak sulungnya Suci Hanania Malika Abdul Mutalib, 6, sebelum ini kerap kali bertanya sama ada dia akan mendapat adik.

"Anak saya menjadi antara orang paling gembira kerana sebelum ini dia selalu bertanya bila akan dapat adik. Alhamdulillah, rezeki ini Insya Allah menggembirakan Nia juga," katanya.

Menurut Yatt, dia dan suami tidak pernah merancang apa-apa, sebaliknya reda dengan apa juga rezeki yang ditetapkan Tuhan.

Yatt berkata, dia menyedari dirinya hamil apabila selera makannya agak luar biasa.

"Sekitar tiga minggu lalu, apabila selera makan saya bertambah, saya rasa seperti ada perbezaan dalam diri. Jadi, apabila membuat pemeriksaan, doktor mengesahkan saya sedang hamil," katanya.

Ditanya mengenai alahan, Yatt mengakui lebih 'manja' dari segi pemakanan berbanding kehamilan sebelum ini.

"Saya tidak boleh makanan makanan di luar selain makanan yang saya masak sendiri kerana saya akan mual-mual. Dalam kehamilan pertama dulu, memang macam-macam saya makan dan lebih lasak berbanding yang kedua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2016 @ 7:25 PM