WEE Wern raih mata pertama.
WEE Wern raih mata pertama.

Kuala Lumpur: Malaysia mengesahkan tiket ke suku akhir Kejohanan Skuasy Berpasukan Wanita Dunia 2014 apabila mencatat kemenangan ketiga berturut-turut di Pusat Skuasy Mark Sachvie, Kanada.

Skuad negara yang diperkuat pemain nombor satu dunia, Datuk Nicol David meneruskan kemaraan pada kejohanan itu selepas menewaskan Guatemala 3-0 dalam perlawanan ketiga kumpulan C, kelmarin, menurut laman web kejohanan www.wwt2014squash.com.

Malaysia, sebelum itu menumpaskan Kanada dan Mexico dengan keputusan sama.

Pada perlawanan menentang Guatemala, Low Wee Wern meletakkan Malaysia di depan selepas menewaskan Pamela Anckermann 11-6, 11-3, 11-5, sebelum Delia Arnold menyumbangkan mata kedua negara dengan kemenangan 11-4, 11-3, 11-4 ke atas Winifer Bonilla.

Pemain simpanan, Zulhijjah Azan melengkapkan aksi bergaya Malaysia apabila menundukkan Nicolle Anckermann 11-4, 11-2, 11-4.

Malaysia berdepan pasukan pilihan keenam, Amerika Syarikat (AS) pada aksi akhir peringkat kumpulan bagi menentukan juara kumpulan, lewat semalam.

AS turut mara ke suku akhir apabila mencatat kemenangan ketiga berturut-turut selepas menumpaskan Kanada 3-0.

Pasukan berkenaan sebelum itu mengalahkan Guatemala dan Mexico dengan mata sama.

Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan teratas setiap empat kumpulan mara ke suku akhir.

Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia pada kejohanan berkenaan ialah menduduki tempat ketiga dalam empat edisi sebelum ini, 2006, 2008, 2010 dan 2012. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Disember 2014 @ 6:57 AM