Mohamad Fahd Rahmat

Johor Bahru: Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar, hari ini, memulakan hari pertama Kembara Mahkota Johor 2016.

Baginda memandu trak Mack untuk bertemu rakyat jelata di seluruh pelusuk negeri selama empat hari.

Turut berangkat ke majlis pelepasan ialah Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan anaknda baginda termasuk Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail dan isterinya, Che' Puan Khaleeda Bustamam.

Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Tan Sri Mohamad Aziz menyempurnakan acara pelepasan rombongan KMJ 2016 yang turut disertai ahli keluarga diraja.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama Exco negeri selain pegawai tertinggi kerajaan dan rakyat yang membanjiri lokasi pelepasan di Dataran Bandaraya Johor Bahru.

Mohamed Khaled berkata, program KMJ 2016 mencerminkan hubungan erat dan padu istana dengan rakyat.

KMJ 2016 akan berlangsung sehingga Selasa ini membabitkan perjalanan kira-kira 842 kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2016 @ 1:30 PM
FOTO Mohd Azren Jamaludin