Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Pelakon Ika Nabella selamat melangsungkan pertunangan dengan jejaka pilihannya, Muhammad Zaid, 29.

Ika, 27, berkata, perancangan untuk melangsungkan majlis di Pulau Pinang itu dibuat sejak hujung tahun lalu.

"Alhamdulillah, segala yang dirancang berjalan lancar. Bukan niat saya untuk merahsiakan majlis ini, sebaliknya ia atas persetujuan kedua-dua pihak.

"Lagipun, selama ini saya pernah bercakap mengenai hubungan kami, cuma belum bersedia untuk berkongsi identitinya kepada umum," katanya kepada Harian Metro.

Bekas bintang Akademi Fantasia musim keenam ini memberitahu dia dan tunangnya akan bernikah pada Julai ini.

"Insya Allah, majlis nikah kami diadakan pada Aidilfitri nanti. Namun, tarikh masih belum ditetapkan lagi. Saya akan maklumkan kepada semua dalam masa terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2016 @ 12:20 AM