Sepang: Beraksi buat kali pertama di Superpole Dua (kelayakan) ternyata berjaya membantu pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin untuk menduduki petak lima terbaik buat kali pertama dalam saingan Supersport Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) musim ini.

Semalam bekas pelumba Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia itu, mencatat kepantasan 2 minit 8.475 saat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Menurut pelumba kelahiran Banting itu, dia sebenarnya mampu mencatatkan masa lebih pantas namun melakukan sedikit kesilapan di selekoh terakhir sesi kelayakan selepas menukar tayar baru.

“Saya gembira dengan kedudukan petak untuk perlumbaan esok (hari ini) dan puas hati dengan penyediaan jentera (Kawasaki) hari ini (semalam) yang membolehkan saya beraksi 100 peratus,” katanya ketika semalam.

Jelasnya, ketika di hujung sesi kelayakan, salah seorang pelumba menunggang agak perlahan di selekoh terakhir yang menyebabkannya terpaksa mengelak dan hampir terjatuh.

Zulfahmi mengakui jika perkara itu tidak berlaku dia mungkin dapat mencatat masa sekurang-kurangnya ketiga terbaik untuk berada di barisan depan menjelang perlumbaan hari ini.

“Saya yakin perlumbaan esok akan lebih perlahan dari kelayakan masa tapi paling penting sekarang ini ialah pengurusan tayar. Saya harap dapat beraksi dalam perlumbaan dengan permukaan trek kering dan mampu berada dalam kelompok depan,” katanya.

Menjelang perlumbaan Supersport hari ini, pelumba Kawasaki Puccetti Racing, Kenan Sofuoglu mengungguli petak utama selepas merakam 2:8.055s, manakala rakan sepasukannya, Randy Krummenacher kedua (2:8.155s).

Petak ketiga pula diraih Gino Rea dari GRT Racing Team (2:8.410s).

Kedudukan keseluruhan selepas lima pusingan musim ini menyaksikan Sofuoglu unggul dengan 86 mata, manakala Krummenacher kurang 15 mata di tempat kedua dan Jules Cluzel (MV Agusta Reparto Corse) ketiga dengan 58.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2016 @ 12:53 AM