KELUARGA tetap keutamaan sejak kembali berlakon.
Norhayati Nordin


Biarpun pernah menyepi diri seketika daripada industri seni, tidak bermakna pelakon jelita Datin Nina Juren Haniff, 45, sudah bersara.

Ibu kepada enam cahaya mata ini akui sibuk menguruskan anak dan keluarga tetapi itu sama sekali tidak membuatkan dia lupakan terus bidang lakonan.

Buktinya, sejak tahun lalu Nina yang pernah melonjak namanya melalui filem Lenjan arahan Ismail Yaacob pada 1998, kembali ke lokasi penggambaran apabila menerima tawaran berlakon drama.

Bersua dengan Nina atau Haznina Juren pada satu majlis hiburan di ibu kota baru-baru ini, isteri Datuk Ibrahim Md Nor itu menegaskan kemunculan semulanya dalam lakonan mendapat keizinan suami dan persetujuan anak.

“Apapun, aktifnya saya semula sebagai pelakon ketika ini tetap berpada-pada. Tidak banyak tawaran berlakon yang saya ambil kerana keutamaan ialah keluarga.

“Saya sekadar mahu melepas rindu. Ditambah lagi semua anak saya sudah besar. Anak sulung, Heidi Ariana berusia 23 tahun, Mira Sethina, 21, Myra Jasmine, 21, Nina Melor, 19, Seth Imran, 13, dan Nina Jasmin, 12.

“Melihatkan anak sudah boleh mengurus diri sendiri membuatkan saya sedia aktif berlakon semula dengan tawaran watak ibu,” katanya.

Menurut Nina, keluarga juga sangat memberikan sokongan kepadanya dan ia menjadi peniup semangat untuk dia aktif berlakon dan dapat membahagikan masa sebaik mungkin.

Mengenai karakter dilakonkan, Nina akui tidak memilih kerana tiada sebab untuknya bertindak terlalu cerewet.

“Dalam kehidupan harian sekarang pun, saya memang seorang ibu dan wanita yang memiliki keluarga. Jadi, watak ibu ditawarkan itu sangat sesuai.

“Seiring juga dengan faktor usia saya yang melewati 40-an, saya sendiri sangat selesa dengan watak ibu dan isteri kepada kenamaan (VIP).

“Watak saya yang biasa sebagai Datin, Datin Seri dan Puan Sri dalam drama dilakonkan sudah sesuai untuk dipersembahkan kepada penonton,” katanya.

Menurut Nina, sejak berlakon semula beliau juga dapat mengubat rindu untuk bertemu dengan rakan selebriti seperjuangannya dulu.

“Ketika di lokasi penggambaran, peluang bertemu dan berkerjasama dengan kawan lama memang seronok dan kenangan tak pernah dilupakan.

“Apatah lagi, antara kami saling membantu untuk memastikan karakter dilakonkan berjaya seterusnya diterima baik penonton.

“Selain itu, kerjasama dengan pelakon baru juga tidak memberikan saya masalah kerana kebanyakan mereka memang ada bakat termasuk pakej,” katanya.

Nina berkata, setakat ini apa yang dilihatnya sikap hormat di lokasi antara bintang baru dengan pelakon senior dan kru produksi juga baik.

Katanya, dia selesa bekerja dengan pengarah Michael Ang kerana dia sangat memahami.

“Macam saya katakan, keluarga adalah keutamaan dan Michael faham. Apa yang membuatkan saya sangat selesa kerana dia (Michael) boleh diajak berbincang.

“Ditambah drama sentuhan Michael pun saya dapati kena dengan cita rasa penonton masa kini yang lebih menjurus pada drama adaptasi novel,” katanya.

Kalau sebelum ini Nina pernah muncul dalam drama MAID arahan Michael, kini Nina tampil membintangi drama Dia Semanis Honey siaran Astro Ria.

Dalam drama itu, Nina melakonkan watak Puan Sri Hartini di samping pelakon lain seperti Ahmad Fauzee, Aleeza Shahdan, Zainol McWilson, Alif Satar, Siti Nordiana, Hairul Azreen dan Ziha AF.

Sepanjang pembabitan Nina dalam lakonan, beliau pernah membintangi filem Imigran, KLU, Panas, Kembara, Bintang 3, Femina dan tahun lalu, Romeo Kota, Kes Fail: Kriptik arahan Aaron Aziz.

Sebelum bekerjasama dengan Michael, selebriti yang mula menceburi industri seni pada 1993 ini pernah berlakon bawah arahan Ahmad Idham melalui drama Impak Maksima The Series.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2016 @ 5:03 AM