Kemalangan kereta yang mengorbankan dua wanita di KM 257 Lebuhraya PLUS arah utara dekat Kuala Kangsar, 4.15 pagi tadi. FOTO ihsan pembaca
Mohd Hafizee Mohd Arop


Ipoh: Dua wanita maut, tiga lelaki cedera selepas kereta dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas melanggar pembahagi jalan sebelah kiri mengakibatkan mereka dipercayai tercampak keluar dari kereta.

Dalam kejadian di Kilometer 257 Lebuhraya PLUS arah utara dekat Kuala Kangsar, jam 4.15 pagi tadi, mangsa Syahrul Amie Shahriman,28, yang juga pemandu kereta itu maut di tempat kejadian manakala penumpang depan Nabilah Syahmimi Zulkifli,21, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, siasatan awal mendapati kereta dinaiki kelima-lima mangsa hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan.

Katanya, mangsa yang maut ditempat kejadian yang juga pemandu dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat manakala empat lagi mangsa dibawa ke HRPB untuk menerima rawatan sebelum penumpang hadapan disahkan maut di hospital.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Keterangan Gambar:

PIX: Kenderaan mangsa terbabit kemalanga

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2016 @ 9:27 AM