DR Saunthari (dua dari kiri) mencuba aplikasi BookDoc menggunakan tablet sambil dibantu Datuk Chevy (dua dari kanan).
Nor Faizah Mohamed
faizah@hmetro.com.my


Malu sering dijadikan alasan. Disebabkan malu dengan pandangan atau simpati masyarakat jugalah membuatkan ramai pesakit kanser di negara ini gagal mendapat bantuan pada peringkat awal.

Ramai pula yang peka tetapi sengaja mengabaikannya atas alasan diri sihat dan mungkin tidak berisiko mengalaminya.

Sesetengahnya pula tidak tahu cara untuk mendapatkan bantuan, sekali gus menyukarkan mereka menerima rawatan dan sokongan yang sepatutnya.

Justeru, talian bantuan kanser diwujudkan untuk rakyat Malaysia terutamanya yang tinggal di luar bandar agar mudah mengakses maklumat mengenai kanser secara percuma.

Dilancarkan Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM), baru-baru ini, Talian Bantuan Kanser atau CIS ini bertujuan membantu masyarakat dengan apa jua soalan dan kesangsian mengenai kanser.

Talian bantuan pelbagai bahasa ini membantu menjawab persoalan atau kekeliruan pesakit dan keluarga mereka membabitkan rawatan, pencegahan kanser, penjagaan pesakit kanser, kemudahan sedia ada, bantuan kewangan dan kumpulan sokongan di kawasan sekitar pesakit.

“Satu daripada empat rakyat Malaysia berisiko mendapat kanser. Dijangka kes kanser baru akan meningkat daripada 37,000 ketika ini kepada 56,000 menjelang 2025.

“Selain itu, ramai rakyat Malaysia khususnya di kawasan pedalaman yang tiada akses kepada maklumat berkaitan kanser dan perkara lain seperti jenis sokongan yang mereka perlukan,” kata Presiden dan Pengarah Perubatan NCSM, Dr Saunthari Somasundaram.

NCSM membangunkan CIS berikutan wujudnya jurang besar terutama dalam kalangan rakyat Malaysia yang tidak dapat mengakses bantuan atau jenis sokongan itu.

“Ramai pemanggil memberitahu mereka tidak tahu ke mana perlu dituju untuk mendapatkan nasihat dan sesetengahnya pula hanya perlukan pendengar yang sedia melayan cerita atau kebimbangan mereka.

“Ada juga yang keliru dan kecewa dengan nasihat bercanggah yang diterima daripada orang sekeliling mereka,” tambahnya.

Perkhidmatan ini dilengkapi program komputer yang merekodkan setiap perbualan dengan pemanggil bertujuan meningkatkan mutu di samping membolehkan pihak NCSM mengenal pasti keperluan berkaitan kanser dalam kalangan rakyat Malaysia.

Khidmat talian ini juga penting dalam usaha NCSM mengumpul data dan meningkatkan tindakan pengesanan awal, selain menambah atau mengembangkan lagi program pencegahan, perkhidmatan pendidikan, penjagaan serta sokongan sedia ada.

Menerusi talian 1800-08-1000, petugas NCSM sedia membantu pemanggil menangani kebimbangan atau kerunsingan mereka mengenai kanser.

Talian dibuka dari Isnin hingga Jumaat antara jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang. Selain itu, sebarang pertanyaan mengenai kanser juga boleh diajukan menerusi e-mel di help@cancer.org.my.

Tempah slot rawatan dalam talian

Pada masa sama, NCSM bekerjasama dengan BookDoc iaitu platform dalam talian untuk mengembangkan akses maklumat dan perkhidmatan berkaitan kanser di sekitar Asia.

Perkhidmatan klinik dan Pusat Perubatan Nuklear yang ditawarkan di NCSM boleh didapati di enjin carian lalu membolehkan pesakit menempah slot menerusi aplikasi BookDoc di telefon pintar atau di laman sesawangnya, www.bookdoc.com.

Untuk membantu memudahkan pesakit mengunjungi klinik NCSM, perkhidmatan teksi juga disediakan dalam aplikasi BookDoc ini.

Ditubuhkan pada 1998, klinik saringan dan pemeriksaan kesihatan kanser NCSM menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kanser payudara, serviks dan prostat.

Pusat Perubatan Nuklear pula menawarkan perkhidmatan pemeriksaan imbasan imej untuk mengenal pasti kanser yang merebak sebelum ditentukan jenis rawatannya.

Untuk menggunakan perkhidmatan tempahan slot ini, pengguna hanya perlu mendaftar dengan BookDoc sama ada menerusi aplikasi telefon pintar atau laman sesawang dan taip ‘NCSM’ di bahagian carian.

“Walaupun BookDoc baru dilancarkan enam bulan lalu, kami komited dalam usaha membantu memudahkan akses rawatan kepada pesakit.

“Mengesan kanser dari awal dan mendapatkan rawatan segera banyak membantu kepada pemulihan keseluruhan.

“Jadi kolaborasi ini menjadi salah satu inisiatif tanggungjawab sosial kami kepada warga Malaysia. Untuk itu, mulai 27 April hingga 30 Jun ini, mereka yang mendaftar akaun pengguna baru BookDoc akan diberi kod istimewa.

“Hanya masukkan kod ‘CANCER’ pada ruang disediakan dan RM1 akan didermakan kepada NCSM,” kata pengasan BookDoc, Datuk Chevy Beh.

Dengan BookDoc, pengguna lebih mudah mencari dan menempah slot yang sesuai dengan kelapangan masa mereka.

Langkah ini mengurangkan masa menunggu untuk pesakit dan membolehkan pengguna mengenal pasti jenis rawatan yang diperlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2016 @ 5:01 AM