SKUAD eksperimen Klopp (jersi merah) seri ketika menentang West Brom.
SKUAD eksperimen Klopp (jersi merah) seri ketika menentang West Brom.
AFP

West Bromwich, England: Juergen Klopp bersedia memberi tumpuan sepenuhnya terhadap final pertama Liverpool di kancah Eropah dalam tempoh sembilan tahun selepas Reds menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris dengan seri 1-1 menentang West Brom.

Pengurus Liverpool Klopp mengakui pemain seniornya sudah mula memikirkan mengenai final Liga Europa berdepan juara bertahan Sevilla awal pagi Khamis ini sebelum perlawanan terakhir kelmarin.

Jadi Klopp membuat 11 pertukaran di Hawthorns, kebanyakan pemainnya direhatkan di Merseyside manakala skuad eksperimen Liverpool berjaya mengutip satu mata hasil jaringan penyamaan Jordon Ibe selepas Salomon Rondon menjaringkan gol awal buat pasukan lawan.

“Kami membuat beberapa pertukaran, 11 semuanya,” kata Klopp sambil tersenyum.

“Sememangnya ia berasas kerana jelas sekali anda tidak boleh bermain di sini dengan tumpuan 50 peratus.

“Saya tahu mengenai perlawanan akhir dan ia pastinya sukar buat pemain. Jelas sekali ia akan menjadi perlawanan yang sengit.

“Pemain muda bermain dengan baik dan menampilkan aksi bola sepak sebenar.

“Masalah timbul jika kami menurunkan pemain lain dan mereka sudah pun memikirkan perlawanan berikutnya. Ia sesuatu yang normal, kami tidak boleh mengubahnya.”

Skuad Klopp menerima suntikan semangat untuk perlawanan awal pagi Khamis ini dengan kehadiran kapten Jordan Henderson, yang kembali beraksi selepas direhatkan lebih sebulan, bermain selama 26 minit sebagai pemain gantian dan tidak menunjukkan sebarang tanda kesakitan berikutan kecederaan lutut.

“Saya tidak mahu mendesak dan berkata ‘ayuh Hendo’ tapi dia tidak berasakan sesuatu daripada beberapa sesi terdahulu jadi kami berikannya 20 minit,” kata Klopp.

“Akhirnya ia berlanjutan selama setengah jam. Tentu sekali seronok melihatnya kembali beraksi.”

Danny Ings hampir pasti tidak akan diturunkan di Basel biarpun kembali selepas sekian lama berikutan kecederaan lutut.

Selepas direhatkan sejak Oktober lalu, penyerang Liverpool itu diturunkan sebagai pemain gantian pada babak akhir perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2016 @ 11:51 AM