BANGUNAN Parlimen. FOTO arkib NSTP
BANGUNAN Parlimen. FOTO arkib NSTP
Meor Riduwan Meor Ahmad


Kuala Lumpur: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Ordinan Perkapalan Saudagar (Pindaan) 2016 bertujuan menyeragamkan perundangan maritim negara supaya selaras dengan komuniti maritim antarabangsa.

Pindaan itu dibentangkan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi semalam, bertujuan membolehkan perundangan maritim Malaysia sentiasa berada di tahap tertinggi selaras amalan antarabangsa terutama dalam konteks menjaga kebajikan pelaut.

Melalui pindaan itu beberapa seksyen baru dimasukkan antaranya Seksyen 90, Seksyen 103 dan 404A (1).

Seksyen 90 baru ordinan berkenaan yang dicadangkan memperuntukkan waktu rehat minimum 10 jam dalam tempoh 24 jam, serta 77 jam bagi tempoh tujuh hari.

Jika gagal mematuhinya, pemunya kapal boleh dikenakan denda maksimum RM100,000.

Seksyen 103 baru pula mengenakan tanggungjawab ke atas pemunya kapal Malaysia untuk menyediakan perlindungan kesihatan dan rawatan perubatan yang mencukupi kepada pelaut serta memastikan bekalan perubatan disenggara dengan baik dan diperiksa.

Seksyen 404A (1) memberi kuasa kepada Menteri Pengangkutan untuk membuat kaedah bagi pengurusan bangkai kapal termasuk prosedur tuntutan dan penjualan serta menentukan lokasi pelupusan bangkai kapal yang tidak dituntut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2016 @ 5:28 PM