ANTARA air rebusan daun ketum yang dirampas. FOTO Khairunisah Lokman
Nur Saliawati Salberi


Alor Gajah: Lapan lelaki termasuk lima warga Thailand ditahan dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran air ketum di sekitar daerah ini.

Kesemua mereka yang berusia antara 18 hingga 55 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di Jalan Solok Duku, Masjid Tanah, 8.40 malam Sabtu lalu dan di Jalan Taboh Naning, 9.40 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, dengan tertangkapnya suspek pihaknya percaya dapat melumpuhkan pengedaran air ketum sekitar Masjid Tanah, Sungai Udang dan Simpang Ampat.

"Pada serbuan pertama suspek berusia 32 tahun ditahan di rumah yang disewa khas untuk memproses bekalan selain merampas 70 bungkus air ketum dan 15.4 kilogram (Kg) daun dianggar bernilai RM1, 160.

"Manakala serbuan kedua pula, tujuh suspek termasuk lima warga Thailand ditahan di rumah kedai dan 4 Kg daun dan 1.5 liter air ketum dirampas," katanya.

Katanya, kesemua suspek kini direman sehingga Jumaat depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2016 @ 9:33 PM