Hayati Ibrahim


Putrajaya: Pegawai kanan Perbadanan Putrajaya (PPj) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, semalam kerana disyaki meminta dan menerima suapan hampir RM13,000 dari syarikat kontraktor.

Pengarah SPRM Selangor, Datuk Norazlan Mohd Razali berkata, lelaki berusia 40-an itu ditahan pada 9.30 malam di restoran di Putrajaya.

"Suspek ditahan bagi membantu siasatan kerana dipercayai meminta dan menerima suapan hampir RM13,000 sebagai balasan meluluskan sebut harga daripada syarikat kontraktor,"katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, kes rasuah yang membabitkan perolehan perlu dicegah dan diambil perhatian sewajarnya kerana ia boleh menyebabkan wujudnya ruang dan peluang permintaan rasuah oleh orang yang mempunyai kuasa.

"Jika perkara ini dibiarkan dikhuatiri akan memberikan tekanan kepada pihak pembekal dan kontraktor kerana mereka perlu menyediakan wang rasuah yang diminta sekiranya ingin mendapatkan sesuatu projek," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2016 @ 9:58 PM