Johari memberi ucap tama ketika melancarkan MINDA 2.0, semalam.
Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Pemindahan aset dari 1Malaysia Development Bhd (1MDB) ke MoF Inc giat dijalankan dan dijangka dimuktamadkan menjelang akhir bulan ini.

Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani berkata, proses berkenaan kini di peringkat akhir dan ia dijangka diselesaikan dengan mudah memandangkan 1MDB dimiliki sepenuhnya MoF Inc.

“Untuk menyelesaikan proses berkenaan, lembaga pengarah mengemukakan peletakan jawatan mereka,” katanya selepas melancarkan Akademi Pengarah Malaysia (MINDA) 2.0 di sini, semalam.

Menurutnya, tindakan berkenaan sebahagian daripada saranan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), yang antara lain menyebut perpindahan aset dan anak syarikat ke MoF Inc memudahkan penelitian lebih dekat terhadap firma berkenaan.

MoF Inc menyatakan untuk melantik ahli lembaga pengarah baru bagi membuktikan profil perniagaan 1MDB.

“Kami difahamkan tiada lagi sebarang aktiviti dijalankan 1MDB selepas proses berkenaan selesai. Maka, kami melihat maklumat dan melantik lembaga pengarah sementara terdiri daripada kakitangan MoF,” katanya.

Awal bulan ini, kerajaan menyatakan bahawa 1MDB memindahkan pemilikan Bandar Malaysia Sdn Bhd, TRX City Sdn Bhd (TRX) serta Air Itam dan Pulau Indah kepada MoF Inc sebagai tindak balas cadangan dikemukakan laporan PAC terhadap 1MDB.

“Untuk projek TRX, kami mempunyai perjanjian kerjasama dengan Lend Lease iaitu pemaju hartanah dari Australia. Syarikat kerjasama itu tidak dapat meneruskan projek berkenaan kerana berdepan masalah pembiayaan berikutan isu dihadapi 1MDB.

“Situasi sama turut berlaku untuk projek Bandar Malaysia. Agak sukar institusi kewangan tempatan atau antarabangsa menyalurkan pembiayaan kerana isu 1MDB belum diselesaikan,” katanya.

Johari berkata, 1MDB juga menjalin kerjasama rapat dengan pemegang bon bagi memastikan mereka dimaklumkan mengenai perpindahan berkenaan.

“Terdapat dua pemegang bon untuk 1MDB iaitu mereka yang melanggan sukuk dengan 1MDB dan mereka yang berurusan dengan IPIC. Bagi pemegang bon IPIC, mereka berminat meneruskannya bersama IPIC,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2016 @ 7:01 AM