SHEKH Mohd Haqimie (kiri), Konate (tujuh dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Mesotropin Abd Hafiz Abd Wasa (tengah) bersama pemain TFC II menunjukkan produk Mesotropin.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Arkitek pasukan Terengganu FC II (TFC II) Makan Konate tegas menekankan tiada istilah pasukan ‘adik dan abang’ dengan misi mencatat kemenangan tetap menjadi agenda utama apabila bertemu Terengganu dalam kancah Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Malah, pemain kelahiran Bamako Mali itu yakin prestasi pasukan yang dibarisi pemain muda tanpa status pemain bintang itu, mereka mampu membuatkan skuad Penyu merana.

“Namun, saya tidak mahu rakan sepasukan mendabik dada sebaliknya membuktikannya malam ini.

“Corak latihan yang mesra pemain dengan menitikberatkan aspek berpasukan, kerja keras dan fokus bakal menjadi nadi kekuatan kami,” katanya ketika ditemui Arena Metro selepas latihan, semalam.

Konate yang kini pemain kegilaan peminat skuad itu kerana kelincahan dan keunikan namanya juga mempunyai misi peribadi iaitu mahu menjadi antara peledak bagi memastikan pasukannya mengutip tiga mata.

Pemain berusia 25 tahun itu yang juga berkebolehan sebagai penyerang setakat ini sudah meledak empat gol sepanjang 10 perlawanan dan malam ini bekas pemain kelab Persib Bandung dalam Liga Indonesia itu bertekad menambah koleksi jaringan.

“Semua pemain mengidam untuk menjaringkan gol, tapi apa yang lebih penting kami harus menang untuk mengukuhkan kedudukan liga,” katanya yang mengakui bukan mudah untuk menundukkan Terengganu kerana mempunyai kekuatan tersendiri.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Mesotropin Shekh Mohd Haqimie Shekh Husain berkata, peningkatan prestasi TFC II sejak dari Liga Perdana musim lalu menarik minat syarikatnya yang mengeluarkan produk nutrisi tambahan untuk atlet, tampil menaja pasukan The Titans.

Beliau berkata, skuad dikenali ‘Leicester City’ Malaysia itu juga mempunyai majoritinya anak muda kelahiran Terengganu sehingga mendorong syarikat yang beroperasi sejak 2014 itu untuk membantu TFC II dalam saingan Liga Super musim ini.

“Berdasarkan persembahan pemain dan kini berada dalam kelompok empat terbaik menarik minat kami untuk menjadi antara penaja pasukan itu, seterusnya membantu pemain meningkatkan stamina, mengurangkan keletihan dan lebih penting pemain lebih bertenaga ketika beraksi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2016 @ 10:43 AM