PESERTA tidak ketinggalan merakamkan potret selepas wajah mereka disolek.
PESERTA ceria mencuba pelbagai alat solek.
KECERIAAN jelas terpampang di wajah peserta yang juga pesakit barah payudara.
Oleh Zuhainy Zulkiffli
[email protected].

"Saya tidak pernah menyesal membuang payudara kanan kerana cara itu saja yang dapat menyelamatkan nyawa saya."

Itulah pengakuan bekas pesakit barah payudara, Delima Jamaludin, 35, yang menghidap penyakit berkenaan hampir dua tahun lalu, dipercayai berpunca faktor genetik.

Menurut Delima, payudaranya dikesan mempunyai ketulan pada Oktober 2012 dan sudah menjalani pembedahan bagi membuang ketulan terbabit.

Namun, selepas enam bulan berulang-alik ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan susulan, dia disahkan mengidap barah payudara tahap dua dan bukan ketulan susu yang biasa berlaku kepada wanita yang sudah melahirkan anak.

"Saya tidak terkejut dengan pengesahan doktor itu kerana sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan berikutan beberapa saudara turut menghidap barah payudara.

"Malah, ibu saya sudah 10 tahun menghidap barah itu. Namun, apa yang saya bimbangkan ialah bagaimana untuk memberitahu suami dan anak mengenai penyakit yang boleh meragut nyawa ini," katanya yang menetap di Balik Pulau, Pulau Pinang.

Delima berkata, proses 'memujuk' dan menerangkan maklumat mengenai penyakit itu kepada suami, Zuriadi Daud, 35, menjadi cabaran kepadanya.

Ia berikutan Zuriadi terlalu sedih dengan keadaan yang terpaksa dilalui Delima selain berdepan dengan rakan yang mempunyai pelbagai tanggapan negatif terhadap pesakit barah payudara.

Sejak menjalani pembedahan membuang payudara pada April tahun lalu, Delima sudah enam kali menjalani rawatan kimoterapi.

Pengalaman bertarung dengan barah payudara juga membuatkan wanita itu lebih menghargai kehadiran keluarga yang banyak memberi sokongan.

Ketika menjalani kimoterapi kelima, semangat dan kekuatan Delima seolah-olah hilang dan dia tertekan berikutan seorang daripada ibu saudaranya yang juga menderita menghidap penyakit sama meninggal dunia.

"Mujurlah Zuriadi terus memberi sokongan, malah saya mula menyertai program ceramah, bengkel dan seminar supaya tidak terlalu memikirkan mengenai penyakit yang ditanggung.

"Setiap hujung minggu saya habiskan masa dengan keluarga dan membawa anak saya yang masih kecil Adam untuk bersiap-siar di tepi pantai dengan harapan dapat melupakan kesedihan yang dirasakan tiada penghujungnya," katanya.

Delima ditemui ketika menyertai 'Feel Better Beauty Workshop' sempena Kempen Kesedaran Barah Payudara (BCA) 2014, di Georgetown, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Selain Delima, acara itu turut dihadiri 20 pesakit yang masih berjuang melawan barah payudara. Bengkel anjuran The Estee Lauder Companies yang julung kali diadakan di Pulau Pinang itu turut diserikan dengan pelbagai aktiviti solekan wajah dan dandanan rambut bagi menyakinkan penampilan pesakit supaya tampak lebih segar, selain menaikkan semangat mereka.

The Estee Lauder Companies sudah menyertai penganjuran bengkel berkenaan sejak 10 tahun lalu di sekitar Lembah Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 5:01 AM