Oleh Rosliza Mohamed


Kota Bharu: Polis Kelantan menahan tiga lelaki disyaki pengedar dadah dan merampas 22 botol dadah jenis heroin dianggarkan bernilai RM44,000 di Kampung Belimbing, Tanah Merah, petang kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan Superintendan Mit Emong berkata, serbuan dilakukan di sebuah rumah pada 3.45 petang.

Katanya, tiga suspek berusia 24 hingga 35 tahun turut ditahan.

"Pemeriksaan lanjut menemui dua botol disyaki mengandungi heroin dalam pasu bunga depan rumah dan 20 botol lagi mengandungi dadah sama di bawah tempat duduk bahagian pemandu kereta.

"Semua suspek direman sehingga 6 Disember ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Disember 2014 @ 3:06 PM