Roslen menyiram air di pusara ibunya. FOTO Syahid Sokri
Roslen menyiram air di pusara ibunya. FOTO Syahid Sokri
Syahid Sokri


Alor Setar: Jenazah ibu kepada Pengarang majalah digital ZIP Roslen Fadzil yang meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Serdang, Selangor selamat dikebumikan di Tanah Pekuburan Islam Kampung Seberang Terus, di sini, pagi tadi.

Allahyarham Aishah Ismail, 72, menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.30 malam semalam akibat mengalami pendarahan otak selepas tujuh hari berada dalam keadaan koma.

Roslen berkata, ibunya yang mempunyai penyakit darah tinggi ditemui dalam keadaan lemah di dalam bilik air di rumahnya di Sri Kembangan pada 10 Mei lalui sebelum dibawa ke Hospital Serdang dengan menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.

"Mak yang mempunyai tekanan darah tinggi masuk ke dalam bilik air untuk muntah kira-kira jam 9.30 malam (hari kejadian), tetapi saya mendapati dia tidak keluar dalam tempoh lama lalu pergi memeriksa dan mendapatinya duduk di atas mangkuk tandas dalam keadaan lemah.

"Saya bersama ahli keluarga kemudian merujuknya ke Hospital Serdang sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana tidak sedarkan diri dan dipindahkan ke wad yang memerlukan pemantauan rapi oleh doktor dengan diberi mesin bantuan pernafasan.

"Sepanjang tempoh koma berkenaan, kami sekeluarga berkumpul untuk menjaganya sehingga akhir hayatnya, malam tadi (semalam)," katanya ketika ditemui selepas majlis pengkebumian, di sini.

Katanya, sebelum tidak sedarkan diri, ibunya memaklumkan mahu pulang ke Alor Setar kerana mahu menyambut Ramadan, dan mereka sekeluarga reda dengan pemergiannya.

Jenazah Allahyarham yang meninggalkan empat anak, sembilan cucu dan dua cicit dikebumikan berdekatan kubur arwah suaminya kira-kira jam 11 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2016 @ 5:31 PM