AB Fattah ditemuramah selepas Mesyuarat Exco. FOTO Faris Zainuldin
Muhamaad Razis Ismail


Kota Bharu: Kerajaan negeri akan menjalankan siasatan terhadap Laporan Ketua Audit Negara tahun 2015 Siri 1 hari ini yang mendakwa beberapa mangsa banjir masih tinggal di dalam khemah dan rumah transit sejak bencana banjir pada November 2014.

Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan Belia dan Sukan negeri, Datuk Ab Fattah Mahmood berkata, berdasarkan maklumat yang diperolehi tiada mangsa banjir yang masih tinggal di dalam khemah dan rumah transit kerana mereka ditempatkan di kawasan ditetapkan sementara Rumah Kekal Baharu (RKB) mereka siap sepenuhnya.

"Dalam maklumat yang ada, sepatutnya tiada lagi orang (mangsa banjir) tinggal di dalam khemah kerana tempat untuk mereka sudah disediakan. Contohnya di Gua Musang mereka ditempatkan di kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Taman Etnobotani.

"Berdasarkan mesyuarat terakhir, kita dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pun sudah bersetuju bahawa tiada lagi mangsa banjir yang tinggal di dalam khemah," katanya ketika diminta mengulas mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2015 selepas Mesyuarat EXCO di sini, hari ini.

Laporan audit itu mendedahkan prestasi keseluruhan projek pembinaan RKB untuk mangsa banjir kurang memuaskan dengan 40 peratus atau 557 daripada 1,395 unit rumah itu masih belum siap dibina menyebabkan mangsa banjir masih menetap di rumah transit, khemah dan sebagainya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2016 @ 9:52 PM