KEADAAN kereta yang terbabas dalam parit. GAMBAR kecil, (dari kiri) Noor Syuhada Abdul Kadir dan Naemah Kamal. FOTO Danial Noordin
Oleh Zuliaty Zulkiffli

Jitra: Dua penuntut Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (POLIMAS), di sini, maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas ke dalam parit di Jalan Tok Jalai, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, mangsa, Naemah Kamal, 19, dari Padang Serai dan rakannya, Noor Syuhada Abdul Kadir, 19, dari Alor Setar maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Kedua-dua mangsa adalah penuntut semester 1 Diploma Kejuruteraan Awam yang baru dua minggu mendaftar diri di POLIMAS.

Difahamkan, mereka menaiki kenderaan itu bersama tiga lagi rakan sekelas mereka dipercayai baru pulang menghadiri majlis kenduri rakan mereka di Alor Setar.

Pemandu kereta, Sarwin Dinesh, 20, serta dua lagi penumpang Siti Nursyahirah Fathullah Omar, 19, dan Syahirah Mohd Kamaluddin hanya mengalami cedera ringan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Abd Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan itu dan punca nahas masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Disember 2014 @ 8:23 PM