TUANKU Syed Sirajuddin (empat kiri) dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid (lima kiri) berkenan menerima persembahan kek khas replika stesen kereta api selepas majlis perasmian. FOTO Hafizudin Mohd Safar
Aizat Sharif


Arau: Stesen Kereta Api Arau kini dikenali sebagai Stesen DiRaja Arau.

Penaiktarafan nama stesen kereta api itu kepada stesen diraja selaras dengan status bandar Arau sebagai Bandar Diraja Perlis.

Malah, penaiktarafan stesen kereta api berkenaan adalah sebagai tanda tanda hadiah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Tuanku Raja Perlis ke-73 pada Selasa lalu.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dalam titahnya berharap rakyat di negeri dapat menggunakan kemudahan Perkhidamatan Kereta Api Eletrik (ETS) melalui stesen kereta api yang terdapat di negeri itu seperti di Arau dan Padang Besar.

"Beta amat gebira dengan pengenalan perkhidmatan tren ETS yang melalui stesen Arau dan Padang Besar di negeri ini.

"Sudah tentu, kemudahan ini bakal dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh rakyat serta kerajaan negeri bagi merancakkan pembangunan ekonomi dan industri di negeri Perlis," titahnya ketka Majlis Perasmian Stesen DiRaja Arau dan Majlis Jamuan Teh Kasih Rakyat Menjunjung Daulat di sini, petang tadi.

Tambah Baginda, hubungan baik dan kerjasama erat antara kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan pihak swasta adalah sangat baik dalam memberi kemudahan dan kebajikan kepada rakyat di negeri itu.

Majlis itu turut dihadiri oleh Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalulllail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan Presiden KTMB, Leftenan Kolonel (B) Datuk Sarbini Tijan.

Dalam majlis itu juga, baginda dan tetamu kehormat turut berkenan menaiki ETS dari Arau hingga ke Stesen Kereta Api Padang Besar sebelum berpatah semula ke Stesen DiRaja Arau.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2016 @ 12:28 AM