Kuala Lumpur: “Tegas tak bertempat.” Demikian luahan Penasihat Kehormat pasukan Kelantan, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman (gambar) yang kecewa dengan sikap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana akan mengheret isu tunggakan gaji pemain ke Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu.

Berdasarkan artikel 67 dan artikel 12 kod tatatertib FAM, antara bentuk hukuman yang bakal dihadapi Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) termasuk pemotongan mata, menahan pendaftaran pemain baharu, diturunkan ke divisyen bawahan atau boleh disingkirkan daripada menyertai Liga Malaysia pada musim depan.

Lantas situasi itu menimbulkan rasa kurang senang penaja utama pasukan Kelantan itu yang menyifatkan hukuman berkenaan mampu ‘membunuh’ bola sepak di negeri itu.

“Jangan disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga. Bagi saya, hukuman itu terlalu berat untuk kami sepasukan kerana jika mata dipotong ia akan menjatuhkan motivasi pemain yang sudah bertungkus lumus di padang.

“Bukan senang untuk pemain mendapatkan mata sehingga ada yang terpaksa mengalami kecederaan dan sebagainya tapi akhirnya dipotong begitu saja.

“KAFA memang sedang berusaha mencari dana untuk menyelesaikan tunggakan itu tapi mereka (FAM) harus memberi lebih banyak masa kepada kami,” katanya yang turut dikenali dengan panggilan Dr Vida.

Menerusi laporan Arena Metro sebelum ini, Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) mencadangkan kepada FAM agar pasukan yang gagal melunaskan gaji pemain dipotong mata atau disingkir daripada saingan liga tempatan.

Malah Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin kelmarin turut mengesahkan pihaknya sudah menyerahkan kes tuntutan beberapa bekas pemain dan jurulatih itu kepada Jawatankuasa Tatatertib.

KAFA didakwa dengan tiga pertuduhan membabitkan tunggakan gaji bekas pemain import, Gilmar Jose da Silva AS$89,000 (RM357,820) dan penalti RM3,000.

Selain itu, bekas jurulatih Steve Darby turut menuntut haknya yang berjumlah RM165,000 di samping lima bekas pemain tempatan, Ahmad Fakri Saarani, Amar Rohidan, Muhammad Nazri Ahmad, Amiridzwan Taj Tajudin dan Mohd Fitri Omar.

“Jumlah hutang itu bukan sedikit. Tolong jangan terlalu tegas kerana ini sukan yang amat diminati rakyat Kelantan. Patutnya mereka bantu kami bagaimana untuk majukan bola sepak bukannya meranapkan pasukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2016 @ 8:02 AM