PEMAIN Pulau Pinang S Kumaahran (dua dari kanan) diasak pemain FELDA United.
PEMAIN Pulau Pinang S Kumaahran (dua dari kanan) diasak pemain FELDA United.

Georgetown: Pengurus pasukan Liga Super Pulau Pinang Azizudin Mohd Shariff meletakkan jawatan berkuatkuasa serta merta.

Keputusan itu diambil atas rasa tanggungjawab terhadap prestasi semasa skuad Harimau Kumbang dalam saingan Liga Super musim ini.

Bagaimanapun, Azizudin akan tetap menjalankan tugas sebagai Naib Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP).

Bagaimanapun, beliau berjanji akan terus memberikan sokongan dan menggesa agar semua penyokong agar sentiasa berada di belakang pasukan.

Selepas 11 perlawanan pusingan pertama liga, Pulau Pinang menduduki tangga tercorot dengan hanya satu kemenangan, tiga seri dan tujuh kali kalah.

Sementara itu, pemangku ketua jurulatih pasukan Pulau Pinang Manzoor Azwira Abdul Wahid kecewa dan sedih apabila anak buahnya tewas kepada FELDA United 1-2, kelmarin.

Manzoor berkata, biarpun menduduki tangga tercorot, beliau masih mengharapkan sesuatu yang positif apabila mengharungi pusingan kedua Liga Super, termasuk menentang FELDA United sekali lagi esok sebelum kempen bersambung semula Julai ini.

“Kami tidak akan berputus asa biarpun berada dalam kedudukan tercorot.

“Pemain sudah berusaha sebaik mungkin dan ini saja kualiti yang kami ada. Kekalahan ini memang mengecewakan kerana kami tidak layak beraksi dalam Piala Malaysia,” katanya.

Semua perlawanan selepas itu akan berlangsung di Stadium Batu Kawan kerana Stadium Bandaraya akan dibaik pulih.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2016 @ 8:13 AM