Amran menunjukkan pil Eramin 5 yang dirampas. FOTO Naimah Mohamed
Amran menunjukkan pil Eramin 5 yang dirampas. FOTO Naimah Mohamed
Na'imah Mohamed


Shah Alam: Sebanyak 600,000 biji pil Eramin 5 dianggarkan bernilai RM9 juta dirampas daripada lelaki berusia lingkungan 30-an di tepi jalan di Telok Gong, Klang, 18 Mei lalu.

Dalam kejadian 11 pagi itu, suspek yang memandu Toyota Vellfire ditahan pasukan risikan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sebelum membuat pemeriksaan terhadap kenderaan berkenaan yang kemudian menemui 60 kotak berisi dadah terbabit.

Ketua JSJN Selangor Asisten Komisioner Amran Ramli berkata, hasil pemeriksaan terhadap 60 kotak itu, pihaknya menemui 600,000 pil Eramin 5 dianggarkan bernilai RM9 juta dan seberat 169,200 gram.

"Siasatan awal mendapati dadah itu diseludup masuk dari luar negara dan dipercayai untuk pasaran dalam negara.

"Polis turut merampas dua lagi kenderaan di kediaman suspek di Ampang serta wang tunai RM15,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, suspek direman tujuh hari sehingga 25 Mei ini untuk membantu siasatan

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2016 @ 12:13 PM
Digital NSTP Subscribe