KANAK-KANAK Syria bermain di kem pelarian di Lembah Bekka, Lubnan. FOTO AFP
Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Putrajaya: Kumpulan kedua seramai 100 migran Syria dari 24 keluarga akan dibawa masuk ke negara ini pada 28 Mei ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka dijangka tiba di Pangkalan TUDM Subang, Selangor pada 10 pagi menerusi pesawat sewa khas.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, beliau dan beberapa menteri kabinet lain akan menyambut ketibaan kumpulan berkenaan.

"Berikutan itu lima pegawai daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)akan berlepas ke Lubnan untuk melaksanakan beberapa proses sebelum kumpulan itu dibawa masuk ke negara ini.

"Mereka akan melakukan tapisan keselamatan dan kesihatan terhadap kumpulan migran yang ketika ini tinggal di kem pelarian Lembah Bekka, Lubnan," katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Duta Besar Lubnan ke Malaysia, Ali Daher dan pelancaran Tabung Kemanusiaan Migran Syria di kementeriannya di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, semua migran ini akan ditempatkan di penempatan sementara di Shah Alam, Selangor.

Katanya, kumpulan migran ini tidak akan diberikan pasport, sebaliknya dokumen perjalanan kecemasan kerana tidak mempunyai pasport antarabangsa.

"Sebelum ini, kerajaan sudah membawa masuk lapan individu daripada dua keluarga dalam kumpulan pertama.

"Dijangkakan seramai 500 migran Syria akan dibawa masuk ke Malaysia sepanjang tahun ini,"katanya.

Ahmad Irham Mohd Noor

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2016 @ 6:23 PM