TEMPAHAN diterima daripada pelbagai pihak.
PROSES penghasilan yang teliti.
MEJA kayu merbau antara perabot yang menarik
TUNGGUL kayu jenis merbau dipotong untuk dijadikan meja.
Mohd Rafi Mamat
rencana@hmetro.com.my


Siapa sangka tunggul kayu pokok merbau yang ditinggalkan puluhan tahun lalu di ladang kelapa sawit berjaya dijadikan pelbagai produk hiasan dan kelengkapan rumah menarik.

Barangan seperti meja dan kerusi antara produk dihasilkan masyarakat Orang Asli suku kaum Jakun di Pekan, Pahang. Tanpa sebarang latihan khusus, mereka mampu menghasilkan produk kreatif.

Banyak proses perlu dilakukan bagi menghasilkan produk diingini seperti mencari tunggul sesuai di kawasan ladang kelapa sawit, mencabutnya, membawa keluar, mencuci, membentuk, menghias dan mengilat.

Pelbagai peralatan moden digunakan dalam usaha melancarkan proses menghasilkan barangan berkenaan dalam masa antara sehari hingga seminggu bergantung kepada saiz serta reka bentuk produk.

Bagi Rosmi Sulung, 33, bakat seni yang ada membolehkan dia terbabit dengan aktiviti menghasilkan pelbagai produk kayu daripada tunggul kayu dan bahan terbuang sejak lebih setahun lalu.

Menurutnya, individu yang ingin menceburi perusahaan itu perlu memiliki ketekunan dan minat serta setiap cabaran perlu dihadapi dengan sabar dan tidak mudah mengalah.

Katanya, dia mengambil masa antara sehari hingga seminggu bergantung kepada saiz dan reka bentuk bagi menyiapkan perabot seperti meja dan kerusi ditempah pelanggan.

“Cabaran utama ialah ketika mencabut tunggul kayu. Ini kerana ia perlu dilakukan secara berkumpulan antara dua hingga tiga orang.

Pelbagai peralatan perlu digunakan bagi memudahkan proses berkenaan.

“Lori dan motosikal terpaksa digunakan untuk membawa keluar tunggul kayu sebelum proses membentuk perabot diinginkan,” katanya yang menjalankan perusahaan itu di Kampung Wah-Wah Jalan Muadzam Shah-Segamat dekat Simpang Chini.

Di situ terdapat empat individu menjalankan perusahaan menghasilkan pelbagai produk berasaskan aneka tunggul kayu jenis merbau dan beberapa jenis lain.

Rosmi berkata, dia menjual kerusi dan meja kayu dengan harga antara RM700 hingga RM2,000 bergantung kepada saiz, jenis kayu dan kesukaran membuatnya. Permintaan terhadap produk yang dihasilkan begitu menggalakkan.

“Saya banyak menerima tempahan daripada pelbagai pihak. Selain keunikan kerusi dan meja dihasilkan, warna merah tunggul pokok merbau menjadi penarik utama pelanggan untuk membelinya.

“Saya lebih suka menggunakan tunggul merbau dan rengas kerana warnanya merah berkilat apabila disapu pengilat manakala kerusi dan meja dihasilkan tidak perlu dicat bagi mengekalkan keaslian kayunya,” katanya.

Rosmi yang turut menghasilkan sarung parang dan membekalkan papan pokok rengas untuk membuat kerusi berkata, sokongan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang banyak membantunya.

Rakannya, Yaseni Uding, 24, berkata, selepas hampir setahun menghasilkan perabot daripada tunggul merbau, dia berpuas hati apabila berjaya meraih pendapatan lebih baik berbanding sebelum ini.

“Walaupun terpaksa berhadapan pelbagai cabaran bagi mendapatkan tunggul merbau, rengas dan beberapa jenis lain kerana terpaksa menggali tanah, hasil yang diraih sangat memuaskan.

“Tunggul pokok merbau banyak terdapat dalam ladang kelapa sawit walaupun selepas puluhan tahun berada dalam tanah. Namun tunggulnya masih dalam keadaan baik, malah semakin bertambah cantik dengan warna merah yang dapat menarik peminat perabot,” katanya.

Walaupun dia dan rakan-rakan tidak pernah menerima latihan, mereka tetap dapat menghasilkan perabot menarik dan berkualiti yang dapat memenuhi kehendak pelanggan.

Yaseni berkata, untuk mempromosikan produk yang dihasilkan, sokongan agensi kerajaan seperti Kraftangan Malaysia dan JAKOA ditagih bagi memastikan pasaran dapat diperluaskan ke seluruh negara dengan membawa imej masyarakat Orang Asli.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2016 @ 5:02 AM