DAYANG Nurfaizah.
NANASHEME .
6IXTH Sense.
KHAI Bahar.
FORTEEN.
Syafil Syazwan Jefri


Malam ini berlangsungnya Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt di Kuching Waterfront, Sarawak.

Acara hebat ini menggabungkan artis terkenal tanah air iaitu Dayang Nurfaizah, Forteen, 6ixth Sense, Nanasheme dan pendatang baru, Khai Bahar.

Bagi Dayang, peluang beraksi dalam konsert jelajah terakhir ini sememangnya dinanti, apatah lagi ia diadakan di negeri kelahirannya.

“Tidak sabar rasanya mahu buat persembahan malam ini. Seperti biasa, saya memang teruja beraksi di Sarawak.

“Saya akan menyanyikan lagu Di Pintu Syurga dan sedang mempertimbangkan membawa lagu Langit Cinta atau Dayang Sayang Kamu,” katanya.

Tambah Dayang lagi, dia berharap kehadirannya dan rakan artis lain disambut baik penduduk Kuching.

Selain Dayang, penyanyi yang popular dengan lagu Hantu Atau Buaya, Nanasheme juga turut meluahkan rasa teruja dapat beraksi di pentas Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt.

“Saya anggap ini hadiah kerana semalam adalah hari jadi saya yang ke-21. Saya gembira dapat menghiburkan peminat di Kuching dan dapat berkumpul dengan keluarga,” katanya.

Forteen yang dianggotai One, Ameer, Ariz dan Izzue juga bakal memeriahkan acara konsert dengan menyampaikan gabungan lagu lama dan baru mereka.

“Kami jarang diundang ke Kuching untuk membuat persembahan. Jadi, apabila diberi peluang untuk bersama-sama memeriahkan acara Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt pada malam ini, memang kami sangat berbesar hati.

“Rata-rata peminat mahu kami menyampaikan lagu lama, tetapi ada juga yang mahukan lagu baru. Kami akan pertimbangkan dan cuba memuaskan hati semua peminat,” kata Ariz mewakili kumpulannya.

6ixth Sense pula akan menghiburkan pemint dengan tiga lagu hit kumpulan itu.

“Lagu belum ditetapkan. Apa yang pasti, kami akan hangatkan pentas konsert dengan lagu popular.

“Sudah lama rasanya 6ixth Sense tidak bertemu peminat di Kuching. Terima kasih kepada Harian Metro kerana menjemput kami sekali lagi,” kata Adi atau nama sebenarnya Adi Priyo Sambodo.

Penonton bertuah bakal memenangi hadiah lumayan antaranya TV LED 40”, Samsung Galaxy Tab, Samsung Galaxy J1 Ace dan lima produk Air Cooler.

Beberapa aktiviti menarik turut menanti pengunjung seperti karaoke santai, pertandingan mewarna, permainan kereta kawalan jauh dan pelbagai lagi.

Kuching adalah lokasi terakhir Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt yang sebelum ini diadakan di Alor Setar, Muar, Kuantan dan Miri.

Acara kemuncak di Setia City Park, Setia Alam pada 2 April lalu menyaksikan lebih 35,000 penonton hadir menyaksikan persembahan penyanyi popular Datuk Jamal Abdillah, Amy Search, Ella, XPDC, Dayang Nurfaizah, Ayda Jebat, Siti Nordiana, Ezad Lazim dan Papinka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2016 @ 5:02 AM