HAFIFI (kanan) giat berlatih bersama jurulatihnya.
HAFIFI (kanan) giat berlatih bersama jurulatihnya.
myMetro

Kuala Lumpur: Jurulatih atlet angkat berat negara, Wang Zhi Quan yakin Mohd Hafifi Mansor mampu merealisasikan sasaran Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) untuk berada dalam kelompok 10 terbaik dunia seandainya terpilih menjadi wakil negara ke temasya Olimpik Rio Ogos ini.

Tegasnya, Hafifi berada di tahap terbaiknya dengan angkatan konsisten, justeru meletakkan kepercayaan tinggi terhadap kemampuan atlet itu.

Katanya, latihan insentif selepas dua bulan di China selepas ini akan turut membantu Hafifi mengukuhkan teknik angkatannya.

“Hafifi dan saya akan berangkat ke China pada 29 Mei ini untuk meneruskan latihan di sana.

“Ia persediaan awal untuk Hafifi sebelum dijangka berlepas ke Rio nanti,” katanya.

Zhi Quan berkata, Hafifi sudah bersedia seandainya diberi tugas mengalas tugas di Rio selepas Amirul Hamizan Ibrahim menjadi atlet angkat berat terakhir di temasya terbesar dunia itu pada 2008.

Atlet kelahiran Terengganu itu dikatakan calon pilihan kerana menghuni ranking ke-13 dunia selain reputasinya sebagai pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014.

PABM yang berada dalam dilema untuk memilih sama ada Hafifi atau pemenang perak Sukan Komanwel Zulhelmi Md Pisol akan memutuskan wakil negara ke Olimpik Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2016 @ 5:05 AM