PEMAIN Kuantan FC Mohd Shahrul Aizad Zukufli (tiga dari kiri) membuat percubaan ke gawang Johor DT II.
PEMAIN Kuantan FC Mohd Shahrul Aizad Zukufli (tiga dari kiri) membuat percubaan ke gawang Johor DT II.
Rizar Mohd Noor

Pasir Gudang: Johor Darul Ta’zim II (JDT II) mencatatkan kemenangan keenam berturut-turut untuk melonjak ke tangga kedua liga buat seketika apabila menewaskan Kuantan FA 4-1 pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, malam tadi.

Lebih manis kemenangan itu menyaksikan Zaquan Adha Abd Radzak mencipta hatrik untuk membantu skuad Merah Biru mengumpul 25 mata.

Sebaik babak pertama bermula, skuad Merah Biru tampak begitu bersungguh-sungguh memburu gol awal namun dua percubaan dicipta Paulo Rangel apabila menanduk bola dan rembatan susulan Shafiq Shaharudin gagal menerjah jaring.

Peluang mencipta jaringan hadir pada minit ke-13 apabila gerakan menarik Mohd Afiq Fazail dipersia-siakan Zaquan Adha yang sekadar merembat bola leret sipi dari pintu gol ketika penjaga gol, Mohd Zairi Hafiezi tergamam di gawang sendiri.

Kealpaan benteng pertahanan pelawat yang tidak mengawal Rangel mengundang padah apabila pemain import dari Brazil itu menjaringkan gol pada minit ke-47 selepas menanduk masuk hasil sepakan lintang Che Rashid Che Halim.

Tuan rumah terus menambah derita skuad kendalian Ahmad Nazri Mat Nor apabila umpanan Shafiq pada minit ke-56 menyaksikan Zaquan Adha merembat tepat ke pintu gol gagal ditepis Mohd Zairi Hafiezi yang tewas buat kali kedua.

Namun pelawat bangkit merapatkan jurang gol pada minit ke-58 hasil jaringan Norfahmie Hadzrin Nordin yang merembat leret, menewaskan Muhamad Al-Hafiz walaupun dalam keadaan sudut sukar.

Pelawat terus tertekan pada minit ke-65 selepas tuan rumah menambah jaringan dan Zaquan Adha mencipta gol kedua peribadi apabila mudah menolak umpanan Rangel untuk meletak skuad kendalian Benjamin selesa dengan 3-1.

Ketika aksi memasuki minit terakhir perlawanan, Zaquan Adha melengkap hatrik pertama buat dirinya apabila mudah menjaringkan gol untuk memastikan tuan rumah menang 4-1.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2016 @ 5:06 AM