Kuala Lumpur: MVE Technologies Sdn Bhd menjangkakan peningkatan perolehan menjelang 2015 khususnya selepas pelantikannya sebagai vendor Petronas melalui Program Pembangunan Vendor (VDP).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zulkarnain Jamri berkata, pihaknya menandatangani kontrak sebagai vendor Petronas bagi tempoh tujuh tahun bagi menghasilkan dan membekalkan injap pencekik (choke valve) dan injap pengawal (control valve) yang digunakan secara meluas dalam operasi huluan dan hilirannya.

“Pada 2013, kami mencatatkan perolehan sehingga RM40 juta dengan membekalkan komponen berkaitan operasi penghasilan minyak dan gas termasuk injap pencekik dan injap pengawal.

“Namun, pada tahun ini, perolehan merosot sehingga 30 peratus memandangkan kami tidak terbabit dalam sebarang projek cari gali yang baru,” katanya selepas sidang media di sini, semalam.

Namun, pihaknya menjangkakan jumlah perolehan akan meningkat ketara pada tahun depan khususnya melalui usaha sama dengan Petronas Carigali Sdn Bhd.

“Kedua-dua injap berkenaan komponen kritikal dalam proses cari gali terutama injap pencekik memandangkan semua proses akan berjalan lancar sekiranya ia berfungsi dengan baik.

“Maka, kami yakin pelantikan sebagai vendor Petronas dapat membantu melonjakkan keupayaan kewangan syarikat,” katanya.

Melalui program berkenaan, MVE Technologies menghasilkan injap pencekik dan injap pengawal mengikut rekaan, material dan spesifikasi yang ditetapkan Petronas.

Dalam tempoh tiga tahun pertama, syarikat berkenaan perlu membekalkan komponen berkenaan kepada Petronas dan mulai tahun keempat, Petronas akan membantu MVE Technologies bekerjasama dengan syarikat berkaitan minyak dan gas lain yang turut memerlukan komponen berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Disember 2014 @ 5:01 AM