Kuala Pilah: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu melakukan rombakan besar-besaran sekiranya mahu menggenggam semula Piala Thomas 2018.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Iskandar Zulkarnain Zainuddin (gambar) antara pemain yang perlu diberi perhatian kerana memiliki corak permainan berkualiti.

Katanya, pemain perseorangan berusia 24 tahun itu antara pelapis yang bakal mewakili negara dalam kejohanan berprestij pada masa depan.

“Jika kita mahu mengucup semula Piala Thomas dua tahun akan datang, BAM perlu merombak pemain mulai sekarang.

“Kita tidak mahu ketandusan pemain muda berbakat selain memastikan Piala Thomas dibawa pulang,” katanya ditemui pada Sambutan Hari Belia Negara 2016 Peringkat Negeri Sembilan di Kompleks Rakan Muda (KRM), Melang, di sini, semalam.

Sambutan dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan. Hadir sama Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek dan Pengarah Belia dan Sukan negeri, Azura Sarbin.

Khairy berkata, faktor usia antara punca kekalahan pasukan negara kepada Denmark dalam aksi separuh akhir Piala Thomas 2016 di Kunshan, China, malam kelmarin.

“Biarpun tewas, saya berbangga kerana pasukan negara melepasi sasaran ke separuh akhir.

“Lebih membanggakan apabila Iskandar menampilkan aksi bertenaga melawan pemain Korea, England, Jerman dan Taiwan,” katanya.

Khairy berkata, kemaraan pasukan Denmark ke pentas akhir didorong pemain pelapis muda yang sedang meningkat naik.

Menurutnya, Piala Thomas 2016 berkemungkinan adalah aksi terakhir buat beberapa pemain senior seperti Datuk Lee Chong Wei, Chong Wei Feng, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong.

“Saya faham peminat badminton negara kecewa atas kekalahan malam tadi (kelmarin) tetapi kita sudah mencuba sehabis baik.

“Selepas ini saya akan berusaha mencari pemain muda berbakat dan mengisi kekosongan pemain yang bersara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2016 @ 5:06 AM