ILIJOSKI (kiri) diasak pemain Selangor.
Azlan Hafeedz

Kota Bharu: Kelantan tersungkur di laman keramat mereka selepas diaibkan Selangor 2-5 di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam tadi.

Dua gol Selangor dalam tempoh enam minit cukup membuatkan skuad kendalian jurulatih baharu, Velizar Popov menderita sekalipun mendahului pasukan pelawat.

Jaringan Mohd Hafiz Kamal pada minit ke-15 dan R Gopinathan (m-21) mengejutkan Kelantan yang ketika itu dilihat ghairah melakukan serangan terhadap kubu Selangor.

Sebelum itu, Kelantan membuka tirai perlawanan apabila importnya, Blazhe Ilijoski menjaringkan gol pada m-9.

Tempang tanpa dua tonggak utama, Brendan Gan dan Wan Zack Haikal Wan Noor akibat digantung perlawanan, Kelantan yang dikemudi Mohd Badhri Radzi dan Indra Putra Mahayuddin banyak mencemaskan pertahanan Selangor.

Kelantan nyaris mendapatkan gol penyamaan pada m-31 menerusi sepakan Ilijoski, namun percubaannya tersasar.

Tuan rumah semakin tertekan apabila Mohd Nazmi Faiz Mansor mudah menjaringkan gol pada m-35 yang menewaskan penjaga gol, Mohd Khairul Fahmi Che Mat.

Terdesak dengan gol ketiga itu, Kelantan berusaha merapatkan defisit, namun, gagal mencari tindakan penyudah.

Selang empat minit babak separuh masa kedua bermula, pemain Kelantan semakin hilang punca apabila jaringan Mohd Razman Roslan pada m-49 terus menambah duka mereka.

Kemasukan penyerang import, Dramane Traore pada m-46 menggantikan Fakhrul Zaman, juga masih gagal mengimbangi kekuatan jentera serangan Selangor.

Namun, hasil asakan bertali arus ke kubu Selangor, Traore akhirnya menjelmakan gol kedua Kelantan apabila menewaskan Norazlan Razali, m-59.

Perlawanan semakin bertambah sengit apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun nasib masih tidak menyebelahi Kelantan walaupun menguasai 10 minit terakhir.

Kelemahan barisan pertahanan Kelantan terus ketara apabila pemain gantian Selangor Ahmad Hazwan Bakri mudah menjaringkan gol m-88.

Akhirnya, Kelantan terpaksa akur kepada kehebatan skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan yang berjaya membawa pulang tiga mata penuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2016 @ 5:07 AM