FAZURA ketika ditemu bual dalam program Facing Up To Fazura baru-baru, ini.
Oleh Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


Kehidupan peribadi selebriti popular tanah air, Nur Fazura Sharifuddin atau Fazura tidak banyak didedahkan di media kerana seorang yang privasi.

Namun selepas lebih 10 tahun membina karier dalam industri hiburan tanah air, pelakon jelita ini akhirnya mengambil keputusan untuk berkongsi kehidupan peribadinya kepada peminat.

Kehidupan Fazura di belakang tabir bakal didedahkan dalam program realiti sendiri yang diberi judul Facing Up To Fazura.

Dia bertuah kerana program lima episod itu bakal disiarkan di saluran E! di seluruh Asia.

Buat kali pertama, Fazura akan memperkenalkan kepada penonton keluarganya dan juga rakan baik.

"Bukan senang untuk memujuk adik-beradik terbabit dalam program ini terutama ibu kerana dia seorang yang pemalu.

"Selain keluarga, rakan selebriti Lisa Surihani, Diana Danielle dan pereka terkenal Rizman Ruzaini turut muncul dalam program ini," katanya.

Mengulas lanjut program Facing Up To Fazura, pelakon filem Kami Histeria itu berkata, beberapa babak dramatik bersama keluarga turut dirakamkan kru E!

"Program ini juga sedikit sebanyak membantu mengatasi ketakutan saya ketika mengunjungi pusat perlindungan haiwan terbiar.

"Setiap kali melawat pusat berkenaan, saya pasti sedih melihat keadaan haiwannya," katanya.

Di sebalik perasaan teruja, Fazura mengakui gementar mengendalikan program realiti sendiri.

"Tak pernah terlintas dalam fikiran ada pihak berminat untuk mengetengahkan kisah kehidupan saya kepada umum.

"Lebih-lebih lagi dari saluran antarabangsa E! Saya gembira dan beryukur kerana diberi peluang ini.

Dalam pada itu, Fazura berharap peminat khusus penonton yang kurang mengenalinya seronok menyaksikan program berkenaan.

"Menerusi program ini, saya mahu penonton yang tidak mengenali saya lebih kenal siapa saya sebenarnya," katanya.

Facing Up To Fazura diterbitkan oleh Karen Wiggins, individu sama yang bertanggungjawab ke atas siri It Takes Gutz To Be A Gutierrez.

Sebelum ini, saluran E! pernah menampilkan kisah kehidupan selebriti terkenal tanah air Lisa Surihani dan Aaron Aziz.

Malah, artis antarabangsa Yuna sudah diketengahkan dalam program E! News Asia Special: Yuna pada 25 November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Disember 2014 @ 5:02 AM