Syah Rul Aswari Abdullah

Maran: Pengendali FELDA United Ifran Bakti Abu Salim menyifatkan keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meletakkan pengadil berasal dari Johor pada pertemuan pasukan itu dengan Pulau Pinang di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, di sini kelmarin tidak wajar.

Sambil menyifatkan tindakan itu tidak sepatutnya berlaku, beliau mendakwa langkah itu mewujudkan percanggahan kepentingan ketika FELDA United dan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) sama-sama berkongsi mata di kedudukan teratas Liga Super.

“Jadi, tidak patutlah letak pengadil dari Johor kerana kami (FELDA United) pada masa ini berkongsi mata. Ia bukan isu besar tapi faham-fahamlah.

“Ada ramai pengadil dari negeri lain tapi kenapa pengadil dari Johor yang (mengadili) perlawanan pada malam ini (kelmarin)?” katanya.

Pada perlawanan, FELDA United sekadar seri 2-2 dengan Pulau Pinang yang juga pasukan tercorot Liga Super, sekali gus terlepas genggaman sebagai pendahulu liga kepada Johor DT.

Mengulas persembahan skuad itu, Bakti berkata, beliau tidak terkejut dengan keputusan itu memandangkan pemain tidak mempamerkan prestasi sebenar sepanjang perlawanan itu.

Pada masa sama, kelemahan anak buahnya dalam menyekat kemaraan pemain lawan terutama Matias Cordoba dan Mafry Balang memberi peluang kepada pelawat mengatur beberapa gerakan berbahaya untuk mencipta jaringan.

“Kami terlalu memberi banyak ruang kepada pemain lawan untuk mengatur gerakan terutama pada separuh masa pertama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2016 @ 9:11 AM