BOT memeriahkan Majlis Pelancaran Projek Akuapolitan Kuala Nerus di muara Utara Hujung Tanjung, Seberang Takir. FOTO Rozainah Zakaria
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Nerus: Pelaksanaan Projek Akuapolitan Kuala Nerus yang bernilai RM180 juta mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi projek perintis yang berkonsepkan ‘FELDA Laut’.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang melaksanakan projek seumpama itu dalam usaha untuk meningkatkan taraf hidup nelayan.

Beliau berkata, projek akuapolitan itu dibangunkan dengan kerjasama antara Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan kerajaan negeri memiliki ciri seperti skim FELDA tetapi ia khusus untuk masyakat nelayan.

"Projek ini boleh dianggap 'Felda Laut' iaitu satu skim yang mirip FELDA tetapi disesuaikan untuk nelayan dalam usaha menaikkan taraf hidup masyarakat nelayan.

"Ia akan dimulakan dengan penyertaan 400 nelayan bersama keluarga mereka.

"Usaha ini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat tempatan sebaliknya mampu menarik minat pelaburan dalam sektor perikanan dan pelancongan seterusnya memberi lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan," katanya di majlis Pelancaran Projek Akuapolitan Kuala Nerus, di Muara Utara KTCC, Kampung Hujung Tanjung, Seberang Takir, di sini.

Hadir sama Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Osman Muda; Yang Dipetua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd Zuber Embong dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2016 @ 8:14 PM