KWSP terima 26,568 permohonan membabitkan jumlah RM209.2 juta tahun lalu, untuk membayar pinjaman PTPTN.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerima 33,824 permohonan mengeluarkan caruman kira-kira RM235.7 juta bagi menyelesaikan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sejak Januari hingga April tahun ini.

Menurut Kementerian Kewangan, bagi 2015, KWSP menerima 26,568 permohonan membabitkan jumlah keseluruhan RM209.2 juta.

"Seksyen 54 (6) Akta KWSP 1991 membenarkan ahli membuat pengeluaran KWSP bagi membiayai pengajian tinggi bagi diri sendiri atau anak pencarum.

"Kelayakan berdasarkan jumlah simpanan dalam akaun dua, fi pengajian atau pinjaman pendidikan mengikut mana yang rendah," menurut jawapan bertulis di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Anggota Parlimen Ahmad Lai Bujang (BN-Sibuti) dalam pertanyaannya meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah pencarum KWSP menggunakan akaun dua bagi menyelesaikan hutang PTPTN.

Kementerian itu berkata jumlah keseluruhan pengeluaran caruman KWSP bagi tujuan pembiayaan pendidikan sepanjang tahun lalu yang diluluskan pula ialah 65,787 dengan jumlah keseluruhan bernilai RM578.2 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2016 @ 9:49 PM