X

Kuala Lumpur: Minggu depan bakal terjawab sama ada barisan kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sempat bekerjasama dengan Pengarah Teknikal baru, Morten Frost Hansen.

Kontrak Rashid Sidek, Tey Seu Bock (perseorangan lelaki), Wong Tat Meng (perseorangan wanita), Pang Cheh Chang (beregu lelaki), Jeremy Gan (beregu campuran) dan Rosman Razak (beregu wanita) berakhir hujung bulan ini.

Kedudukan mereka, dilanjutkan atau tidak bakal diketahui minggu depan.

Menurut Jeremy pihak pengurusan sudah memaklumkan, perkara itu akan dibincangkan Isnin dan Selasa minggu depan.

“Pengurusan BAM akan jumpa semua jurulatih. Situasi sekarang antara jurulatih dan pengurusan juga bergantung kepada tanggapan masing-masing sama ada ia bagus atau tidak,” katanya.

Jelasnya, beliau tidak mahu memberi banyak komen mengenai situasi semasa kerana apa yang berlaku (hubungan dingin) antara jurulatih dan pihak pengurusan ada baik dan buruknya.

“Pentingnya kita ada fokus dan mempunyai pemain untuk dibentuk. Semuanya bergantung kepada setiap jurulatih bagaimana mereka menguruskannya.

“Saya dengar Morten Frost akan datang Mac tahun depan, tetapi dari segi penyusunan semula rangkaian jurulatih saya masih belum pasti sama ada ia akan berlaku atau tidak,” katanya.

Jeremy mengaku semuanya mungkin bergantung pada perbincangan kontrak minggu depan untuk melihat jurulatih yang kekal dan berkerja di bawah pengendali Denmark itu.

Frost pernah berkhidmat bersama BAM dengan memegang tugas selaku Pengarah Kejurulatihan selama tiga tahun pada 1997.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Disember 2014 @ 7:38 AM