BERSIAP untuk memulakan aktiviti ekstrem.
BERSIAP untuk memulakan aktiviti ekstrem.
Faizatul Farlin Farush Khan


Sekumpulan kanak-kanak kurang bernasib baik dari Rumah Hope dan The Lighthouse dibawa merasai sendiri cabaran di taman aktiviti mencabar, Skytrex Adventure, Shah Alam, baru-baru ini dengan diiringi sukarelawan Ireka Cares.

Kawasan rekreasi berkenaan yang sesuai untuk aktiviti keluarga penuh mencabar terletak dalam Taman Botani Negara, jelas mampu menggembirakan kanak-kanak terbabit.

Pengalaman berjalan di atas tali yang diikat tinggi antara pokok atau ‘sky-trekking’ memberi peluang kepada mereka merasa sendiri keterujaan mencuba pelbagai aktiviti ekstrem seperti terbang, gayut, luncur dan bergantung pada pelbagai halangan yang diikat di bahagian atas pokok di hutan hujan tropika itu.

Perasaan teruja ketika melakukan aktiviti ekstrem pastinya mampu memberikan kenangan sukar dilupakan dan Skytrex tidak mengecewakan mereka yang mengambil peluang itu untuk mencuba semua cabaran yang diaturkan.

Antara aktiviti yang dicuba kanak-kanak berkenaan adalah bergayut melalui kanopi pokok, bergerak menggunakan tali dari pokok ke pokok dan berjalan di atas titi yang diikat pada ketinggian 100 meter dari tanah.

Aktiviti yang memerlukan kekuatan dari segi fizikal dan mental itu juga memberi peluang kepada kanak-kanak yang gentar kepada ketinggian untuk berhadapan dengan ketakutan itu, seterusnya membuatkan mereka bangga dengan pencapaian dan meningkatkan keyakinan diri sendiri.

Ireka cares adalah program CSR utama Ireka Corporation Berhad yang dibangunkan sejak 2010. Ia memfokus kepada menggunakan kemahiran syarikat untuk membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik memiliki kehidupan dan pendidikan ideal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2016 @ 5:01 AM