Anggota polis menemui 12 lembu dalam kandang di Kampung Gua Kalong, Merapoh, yang dipercayai dicuri sekitar Kuala Lipis. - Foto Ihsan PDRM
BERNAMA

Kuantan: Polis menahan empat lelaki dan merampas 12 lembu yang disyaki dicuri mereka dalam dua serbuan sejak Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Supt Abdul Razak Hassan berkata, turut dirampas sebuah Proton Wira, sebuah lori dan wang tunai RM2,550.

Katanya, suspek dipercayai aktif mencuri lembu sekitar daerah Kuala Lipis.

"Polis menerima aduan daripada seorang lelaki berusia 60 tahun dua lembunya hilang dari kandang di Felda Chegar Perah, Kuala Lipis, petang Jumaat lalu, dan itu berjaya menahan seorang lelaki berusia 47 tahun di Merapoh petang Sabtu," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata hasil soal siasat, suspek membawa polis ke kandang di Kampung Gua Kalong, Merapoh, dan menemui 12 lembu dipercayai dicuri.

Suspek memaklumkan semua lembu itu dibawa tiga lagi rakannya ke kandang itu dan susulan itu polis menahan tiga lelaki berusia antara 22 hingga 55 tahun yang menaiki Proton Wira berkenaan di Kilometer 93 Jalan Lipis-Merapoh, Kuala Lipis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2016 @ 10:07 PM