MASING-MASING seronok dapat timba pengalaman berharga tingkatkan keyakinan diri.
MASING-MASING seronok dapat timba pengalaman berharga tingkatkan keyakinan diri.
Hajahfarhana Tarmudi


Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Ini antara pepatah yang sesuai digunakan untuk menggambarkan penerapan nilai murni yang perlu dibentuk sejak kecil lagi.

Bermula dengan si kecil, diharapkan agar nilai yang positif ini dapat berkembang dan diamalkan hingga dewasa untuk melahirkan masyarakat yang cemerlang, namun pada masa sama bermoral.

Peribadi, tutur kata berhemah, perlakuan yang baik dalam kehidupan dan pelan tindak-tanduk ketika membuat keputusan juga perlu disemai sejak awal lagi.

Kanak-kanak tidak sepatutnya diketepikan dalam menentukan sesuatu perkara besar kerana kadangkala idea si kecil lebih menarik, praktikal dan efektif dari segi pelaksanaannya.

Fizikal yang kecil dan tiada pengalaman langsung bukan bermakna mereka tidak mampu menguruskan sesuatu perkara dengan jayanya.

Dikenali sebagai KidZania CongreZZ, 20 kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun diberi tanggungjawab merancang dan mengendalikan projek sama seperti apa yang dilakukan golongan dewasa.

Menurut Datuk Bandar KidZania Kuala Lumpur Shahrul Nizar Ahmad, misi untuk memperkasakan kanak-kanak melalui kempen ‘Learn Life Today’ diteruskan untuk tahun 2016 bagi membantu kanak-kanak mempelajari mengenai dunia sebenar.

“Kanak-kanak sekarang sangat sofistikated dan berpengetahuan mengenai dunia masa kini. Justeru, kami bertanggungjawab memberikan persekitaran kondusif bagi membolehkan generasi muda ini mengembangkan kemahiran dan minat mereka untuk belajar menerusi pengalaman yang bermakna.

“KidZania CongreZZ memperkasakan 20 kanak-kanak terpilih ini untuk bertindak dan merancang inisiatif sebagai sebahagian daripada badan berkanun kami.

“Melalui usaha ini, mereka dapat meningkatkan kemahiran dan menjana nilai untuk ahli yang lain di samping menjadikannya sebagai platform bagi menyampaikan idea menarik,” katanya.

Ujarnya, ahli baru yang dilantik untuk penggal setahun ini akan diberi tanggungjawab dalam hal termasuk menghadiri mesyuarat setiap suku tahun dan berbincang mengenai topik yang boleh memberi manfaat kepada pengunjung KidZania, antaranya media, hiburan, pendidikan serta kesusasteraan.

Selain itu, mereka juga perlu merancang program dan inisiatif lain seperti acara tahunan ‘Caring Project’ untuk golongan kurang bernasib baik yang akan diadakan pada penghujung 2016.

Mereka juga akan menggalas peranan untuk membuat keputusan penting bagi merancakkan lagi aktiviti di pusat pembelajaran dan hiburan bertema tertutup itu menjadi lebih menarik, untuk kebaikan komuniti di sekeliling mereka.

Gabungan buah fikiran mereka akan menjadikan pengalaman di KidZania sentiasa relevan dengan perkembangan masa kini dalam dunia yang kian berubah.

Acara pelantikan itu adalah hasil daripada proses penyertaan dan pemilihan panjang yang memerlukan peserta menghantar resume dan video, menghadiri temu bual serta berkempen untuk mendapatkan undian.

Ratusan penyertaan diteliti oleh pakar dalam pendidikan pembangunan kanak-kanak dan wakil daripada Kementerian Pendidikan dan KidZania Kuala Lumpur.

“Kami dapat melahirkan kanak-kanak dengan pemikiran kritikal hingga menjadikan mereka lebih kreatif dan tahu bagaimana mahu berkomunikasi dengan rakan lain.

“Pada masa sama, kami mahu ketengahkan bahawa kongres ini bukan biasa tetapi khusus untuk kanak-kanak dan mendengar idea yang diketengahkan untuk memberi manfaat kepada pusat pembelajaran dan hiburan ini secara keseluruhannya,” katanya.

Ujarnya, ibu bapa perlu sedar keperluan untuk mempersiapkan kanak-kanak dengan dunia luar seperti kemahiran selain akademik adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian.

Bangga kerana dipilih

Pelajar tahun empat Sekolah Kebangsaan Seri Selangor ini sangat bertuah kerana dipilih menjadi ahli CongreZZ untuk tahun ini.

Biarpun menghadapi persaingan sengit dan mencabar, anak kecil berusia 10 tahun ini tidak gentar malah aksinya yang meyakinkan dalam video penyertaan yang dihantar itu berjaya menawan perhatian juri.

Azizah Maryam Mohd Yusuf memiliki sisi personaliti yang boleh dianggap sempurna dan menarik untuk dicontohi oleh rakan sebayanya.

Dia pernah menyertai pertandingan melukis, menyanyi, berlakon, menari dan pidato umum. Malah, bakatnya dalam aliran muzik iaitu bermain piano dan bijak menghasilkan lagu sendiri begitu mengagumkan.

“Saya ingin menjadi ahli CongreZZ kerana mahu memberi inspirasi dan menjadi contoh kepada rakan sebaya lain yang mempunyai minat sama untuk menonjolkan diri dengan bakat dimiliki.

“Ada tiga fasa yang perlu dilalui sebelum dipilih dan ia menjadikan saya lebih berani untuk berhadapan dengan situasi berkenaan terutama pada sesi kempen.

“Bahagian yang dirasakan agak sukar ialah penghantaran video, namun bantuan ibu bapa menjadikan perkara berkenaan lebih mudah untuk disiapkan dengan baik,” katanya.

Kongsi pengalaman bermakna

Pengalaman lalu ketika menjadi ahli CongreZZ untuk tahun 2015 menjadikan Aditya Ram Kumar, 11, dan Ng Zhang Hui, 9, tampak bersahaja dalam sesi wawancara bersama media.

Ujarnya, dia juga pernah berasa gementar dan bimbang ketika menghadapi fasa pemilihan pada tahun lalu, namun itu menjadikan dirinya lebih yakin dan berfikiran terbuka.

“Bagi saya bahagian yang paling sukar ialah ketika pemilihan kempen kerana saya bimbang jika tersilap cakap dan melakukan kesilapan lain.

“Selain itu, agak mencabar apabila perlu melontarkan idea atau pandangan dari sudut kanak-kanak untuk memberi manfaat kepada Kidzania dan pengunjung,” katanya.

Bagi Aditya yang pernah bersama-sama menjayakan konsert amal pada tahun lalu mengakui masing-masing mempunyai tugas yang perlu dilakukan.

Dia akui banyak belajar cara berkomunikasi dan bekerjasama dengan ahli lain dalam kumpulan bagi memastikan tugasan dapat dilakukan sebaik mungkin.

Berkongsi pengalaman lalu, Zhang Hui juga pernah ditugaskan untuk menjayakan konsert amal pada tahun lalu dengan menjadi koreografer.

“Kini, saya berpuas hati kerana melalui peluang dan pengalaman yang diberikan ini menjadikan saya lebih bersemangat dan berkeyakinan tinggi untuk menyampaikan idea.

“Bagi saya, ia adalah pelajaran jangka masa panjang bukan saja untuk Kidzania tetapi diri sendiri di masa akan datang. Justeru, saya berasa sangat bangga kerana pernah menjadi ahli bagi sesi 2015,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2016 @ 5:14 AM