ASYRAF bersama isteri, Nur Husna Yusoff serta dua anak mereka, Muhammad Aisy Raihan, 5, dan Aisy Abdurrahman, enam bulan.
ASYRAF bersama isteri, Nur Husna Yusoff serta dua anak mereka, Muhammad Aisy Raihan, 5, dan Aisy Abdurrahman, enam bulan.
Siti Zarinah Sahib


Kurang dari dua minggu umat Islam akan menyambut kedatangan Ramadan. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak kecil sudah tentu kedatangan puasa menjadikan mereka lebih teruja dan bersemangat untuk mendidik anak-anak berpuasa.

Bayangkanlah si kecil berusia lima dan enam tahun yang semakin petah berbicara dan bertanyakan pelbagai soalan mengenai puasa menjadikan ibu bapa lebih prihatin untuk menjelaskan mengenai ibadah puasa serta membuat persiapan untuk si kecil.

Ini kerana tanpa persediaan mental dan fizikal, dikhuatiri puasa itu tidak dapat memberikan kesan positif kepada anak-anak, apatah lagi sekiranya dilakukan dengan paksaan.

Menjelaskan lebih lanjut, Imam Muda Asyraf atau nama sebenarnya Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan berkata, walaupun puasa sama seperti ibadah solat yang hanya diwajibkan ke atas kanak-kanak yang sudah baligh iaitu 13 tahun ke atas bagi lelaki manakala perempuan lapan atau sembilan tahun, namun pada usia tujuh tahun anak-anak sudah disuruh solat dan boleh dirotan sekiranya tidak solat pada usia 10 tahun.

“Dalam hal ini ramai ulama memberikan pendapat yang sama mengenai puasa iaitu bermula pada usia tujuh tahun.

“Mendidik bukan bermaksud memaksa. Sekiranya anak itu masih belum mampu berpuasa sehingga memudaratkan kesihatannya, ibu bapa tidak boleh memaksa. Sebaiknya biarlah mereka bermula secara berperingkat iaitu separuh hari, kemudian diteruskan pula sehari sehinggalah cukup sebulan.

“Ini dilakukan agar anak-anak terbiasa sejak kecil sehingga apabila sampai kepada peringkat wajib, mereka dapat melakukannya dengan mudah,” katanya.

Apa yang boleh dilakukan, mulai mencipta atau memberitahu anak-anak yang kedatangan Ramadan ialah bulan penuh sukacita dan sangat dinanti-nantikan.

“Beritahu mereka me­ngenai aktiviti pada Ramadan dan bulan ini umat Islam diwajibkan berpuasa. Sebahagian kanak-kanak mungkin bertanya apa itu puasa dan berapa lama berpuasa.

“Jelaskan perkara menarik sepanjang puasa misalnya anak-anak boleh menikmati pelbagai juadah enak waktu berbuka, berkumpul dan bermain di masjid waktu Tarawih,” katanya.

Dalam mendidik anak berpuasa, dapat dilihat sahabat Nabi memberikan contoh berpuasa terlebih dulu kepada anak mereka, dengan demikian anak-anak akan mudah mengikuti apa yang dijadikan contoh oleh orang tua mereka.

Misalnya berpuasa dengan tertib, membaca doa sebelum berbuka, tidak membazir pada waktu berbuka serta memilih makanan berkhasiat antara contoh yang boleh menjadi ikutan anak-anak. Dalam pada itu, ibu bapa perlu menerangkan mengapa puasa tidak boleh makan dan minum, mengapa perlu solat dan balasan sekiranya tidak melakukannya.

“Seringkali si kecil me­nyebut kalau tak solat dan puasa masuk neraka. Dalam hal ini pada usia tujuh tahun ke atas adalah peringkat ibu bapa memberikan penjelasan dan penerangan kepada anak-anak mengenai dosa dan pahala kerana minda mereka sudah boleh memahaminya,” katanya.

Tambah Asyraf, mengikut kaedah sahabat Nabi, anak-anak kecil dibawa ke masjid bagi menghidupkan suasana berpuasa. Sekiranya ketika itu ada anak sahabat menangis dan merengek ingin berbuka puasa, sahabat Nabi memberikan mainan kepada anak mereka sebagai hiburan sehingga mereka terlupa dengan permintaan untuk makan dan minum sehinggalah anak-anak ini dapat melanjutkan puasanya hingga penuh.

“Ini juga salah satu kaedah yang dilakukan sahabat Nabi dalam mendidik anak berpuasa. Dengan mengisi masa bermain atau melakukan aktiviti, ia dapat melupakan anak-anak daripada kelaparan. Selain itu, ibu bapa juga dapat memberikan hadiah kepada anak yang berpuasa sebagai penghargaan kepada mereka agar mereka mempunyai motivasi untuk berpuasa,” jelasnya.

Cabaran mendidik anak pada zaman teknologi

Khalifah Umar al-Khattab pernah berkata: “Didiklah anak-anakmu mengikut zaman kerana mereka akan hidup pada zaman yang berbeza dengan zamanmu.”

Merujuk kepada pesanan Umar al-Khattab, ibu bapa disarankan mendidik anak-anak mengikut zaman.

Ini diakui Asyraf yang mengatakan anak-anak pada zaman sekarang bertuah kerana hidup dalam zaman teknologi yang serba-serbi­nya pantas.

Berbeza dengan anak-anak pada masa dulu yang hanya berada dalam lingku­ngan mereka. Permainan hanyalah bola, mandi sungai atau masuk hutan namun masih di dalam kawalan ibu bapa.

Untuk itu, jika ibu bapa pada zaman dulu meng­gunakan rotan untuk menghukum mungkin pada masa sekarang ia tidak lagi sesuai.

“Ini kerana persekitaran sudah jauh berbeza. Sekarang, rela atau tidak anak-anak kecil sudah didedahkan dengan gajet seperti telefon genggam dan tablet. Ini menjadikan mereka cepat matang dan lebih mengetahui dunia luar dengan hanya melayari Internet.

“Ada kebaikan dan keburukannya. Namun lebih banyak keburukannya sekiranya tiada kawalan ibu bapa kerana ia akan menjadikan anak-anak ketagih untuk memasuki laman sesawang yang tidak berfaedah,” katanya.

Untuk itu, pengurusan masa amat penting. Walau sesibuk mana sekalipun, ibu bapa perlu memantau aktiviti anak-anak walau di mana mereka berada.

Beri mereka masa menggunakan gajet misalnya selama satu jam sehari atau hanya pada hujung ming­gu saja. Sentiasa pantau apa yang mereka layari, jangan biarkan mereka membuat keputusan sendiri.

Ini kerana jika anak-anak dibiarkan tanpa pemantauan, mereka mudah mendapatkan maklumat yang salah, apatah lagi sekiranya tidak bertanya dengan mereka yang lebih arif.

“Misalnya dari segi pemakanan, mereka mudah mengambil makanan yang kurang berkhasiat disebabkan pengaruh media sosial,” katanya.

Mungkin bagi anak-anak kecil ibu bapa masih boleh memantau dengan menjelaskan mengenai kepenti­ngan mengambil makanan berkhasiat sepanjang Ramadan bagi mendapatkan nutrisi seimbang agar mereka tidak cepat letih.

“Saya akui ada ibu bapa yang tidak kisah mengenai pemakanan anak-anak.

Namun sebaiknya pilih makanan daripada sumber yang halal, bersih serta berkhasiat,” kata Asyraf.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2016 @ 5:33 AM