PASUKAN Sepanyol menjalani latihan di kompleks sukan Las Rozas.
PASUKAN Sepanyol menjalani latihan di kompleks sukan Las Rozas.
AFP

Madrid: Juara dua kali Sepanyol memulakan persiapan bagi Euro 2016 kelmarin menerusi sesi latihan pertama dengan hanya lapan daripada 25 pemain yang dipanggil jurulatih Vicente del Bosque hadir, manakala pemain lain masih terikat dengan komitmen kelab.

Antara yang hadir menyertai sesi itu di kompleks sukan Las Rozas milik persekutuan bola sepak Sepanyol dekat Madrid adalah pemain Chelsea Cesc Fabregas, Pedro Rodriguez dan Cesar Azpilicueta, pemain Athletic Bilbao Aritz Aduriz dan Mikel San Jose, pemain Manchester City David Silva, pemain Villarreal Bruno Soriano dan pemain Celta Vigo Nolito.

Sepuluh pemain lagi terbabit dengan final piala hujung minggu lalu termasuk juara Piala Raja Sepanyol Barcelona, yang diberikan beberapa hari rehat tambahan sebelum menyertai skuad itu pada 28 Mei ini di Austria yang mana pasukan itu akan berlatih dari 26 Mei hingga 1 Jun, sebelum pengumuman rasmi 23 pemain pada 31 Mei ini.

Pemain dari Atletico dan Real Madrid, yang bermain pada final Liga Juara-Juara di Milan awal pagi Ahad ini, akan menyertai rakan sepasukan mereka pada 4 Jun, sembilan hari sebelum perlawanan pertama Sepanyol pada 13 Jun menentang Republik Czech di Toulouse dan hanya boleh terbabit dalam satu aksi persahabatan pemanas badan menentang Georgia pada 7 Jun ini.

“Persiapan dari hari ini semuanya mengenai kejohanan itu,” kata pemain tengah Fabregas. “Ramai rakan kami belum tiba lagi. Kami harap mereka tampil dengan prestasi terbaik, sihat dan bersedia berdepan pertandingan besar.”

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2016 @ 6:39 AM