SUHARTO
SUHARTO
Agensi

Jakarta: Cadangan untuk mengurniakan gelaran rasmi wira negara kepada bekas Presiden Indonesia, Suharto masih dibincangkan oleh Majlis Gelaran, Pingat dan Kehormat yang ditugaskan mencadangkan nama tokoh untuk diberi gelaran berkenaan, kata Menteri Hal Ehwal Sosial, Khofifah Indar Parawansa.

Cadangan itu mula rancak dibincangkan bulan ini selepas pengerusi Parti Golkar yang baru dilantik, Setya Novanto berjanji berusaha bagi memastikan Suharto yang juga pengasas parti berkenaan dianugerahkan gelaran wira negara.

Katanya, Suharto yang memerintah Indonesia selama 32 tahun adalah pengasas pembangunan negara itu.

“Majlis yang diketuai Menteri Pertahanan, Ryamizard Ryacudu masih membincangkan isu berkenaan.

“Selepas majlis selesai menimbangkan perkara itu, Kementerian Hal Ehwal Sosial akan mengeluarkan dekri pengurniaan gelaran wira negara,” kata Khofifah kepada wartawan di Surabaya.

Menurut peraturan, selepas berbincang dengan majlis berkenaan, Kementerian Hal Ehwal Sosial perlu mencadangkan beberapa nama bagi dikurniakan gelaran itu kepada presiden.

Presiden kemudian memutuskan tokoh mana yang bakal dikurniakan gelaran rasmi itu yang diumumkan pada Hari Wira Negara pada 10 November ini.

Bagaimanapun, tidak semua bersetuju Suharto yang juga bekas diktator itu diberi gelaran berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2016 @ 7:52 AM