LALUAN baru AirAsia X ke Mauritius akan memulakan operasi pada 4 Oktober 2016. FOTO Sri Ayu Kartika Amri
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: AirAsia X, syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh melancarkan laluan barunya ke Mauritius yang akan memulakan operasi pada 4 Oktober 2016.

Penerbangan tanpa henti dari Kuala Lumpur ke Mauritius akan beroperasi tiga kali seminggu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Benyamin Ismail berkata, AirAsia X turut menawarkan harga promosi kepada orang ramai iaitu serendah RM299 sehala.

Katanya, tambang promosi itu boleh didapati secara online bermula 26 Mei hingga 5 Jun 2016 menerusi airasia.com atau mobile.airasia.com bagi penerbangan 4 Oktober 2016 hingga 22 Mei 2017.

"Kami berharap dapat memberi peluang kepada semua rakyat Malaysia untuk melancong ke Mauritius yang terkenal sebagai pulau 'syurga'.

"Dengan pengenalan baharu ini, kami komited untuk meningkatkan jumlah pelancong ke Mauritius dan pelanggan AirAsia X," katanya di pelancaran laluan baharu AirAsia X di sini, hari ini.

Destinasi baru ini akan menggunakan pesawat Airbus A330-300 dengan kapasiti sebanyak 377 tempat duduk termasuk 12 tempat duduk Premium Flatbed.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2016 @ 1:24 PM